Thursday, April 14, 2011

Chapter 32

CHAPTER 32 : A Vile Plan
Tempat             : Hutan Tebal di Sipitang
Masa                : 9.00 Malam
Tarikh               : 5 Mac 2010 – 2 Hari Selepas Rayz melarikan diri dari ISRC
Malam itu kelihatan indah sekali dengan sinaran bulan purnama yang sedang mengambang. Hutan pada malam itu kelihatan sunyi sekali seolah – olah kesemua unggas – unggas hutan telah meninggalkan ia. Ada sebab mengapa hutan di daerah Sipitang itu benar – benar sunyi. Kemunculan ‘makhluk – makhluk’ yang bukan berasal dari Bumi di tempat itu tampak membuatkan kesemua haiwan – haiwan hutan mendiamkan diri. Malahan ‘Pak Belang’ yang amat ganas dan garang itu hanya tunduk menyembunyikan diri dari ‘makhluk – makhluk’ itu.
Di tengah – tengah hutan tebal itu kelihatan ‘Kokun Darah’ yang pernah dilihat oleh Kapten Endra di daerah Tawau. Kokun itu pernah digunakan oleh Queen Grogan untuk memperkuatkan tubuhnya. Beratus – ratus ekor Reptilian Grogan sedang berkawal dan menjaga kokun tempat ‘Permaisuri’ mereka bersemayam. Tidak lama kemudian Queen Grogan muncul dari lubang kokun tadi. Tubuhnya dilumuri darah daripada orang – orang kampung yang berdekatan di situ. Queen Grogan memandang lengan kanannya yang kini telah ‘tumbuh’ semula. Luka di dahinya kini juga telah sembuh dengan sepenuhnya. Queen Grogan teringat semula bagaimana VAHSYAH membelasahnya di Bandar Raya Tawau. Ia kelihatan marah sekali, “Woarghhhh!!!” ia bertempik sehingga menakutkan Reptilian – Reptilian Grogan yang berkumpul di situ. Queen Grogan melibaskan cangkuknya ke kanan dan aura berbentuk pedang yang amat tajam pun muncul dari cangkuk itu dan memotong pokok – pokok kayu balak seluas 15 kilometer persegi. Pokok – pokok kayu balak itu pun tumbang satu – persatu, betapa kuatnya serangan Queen Grogan!
Tiba – tiba Queen Grogan berdesis dan memandang tepat ke hadapan. Reptilian – Reptilian Grogan yang lain juga memandang ke arah yang sama. Nampaknya ada ‘tetamu’ yang tidak diundang datang ke tempat itu. Queen Grogan dapat melihat kelibat manusia yang berjubah sedang berjalan dengan tenang menuju ke arahnya. Sinaran bulan purnama memperlihatkan jubahnya yang berwarna merah darah. Lembaga itu adalah lembaga yang sama menentang VAHSYAH di Tawau dan yang berada di ruang udara ISRC Metropolis Kinabalu ketika Rayz melarikan diri, iaitu REFLUCIS. REFLUCIS kini berdiri dalam jarak 5 meter di hadapan Queen Grogan. Reptilian – Reptilian Grogan itu segera menerpa ke arah REFLUCIS dan menyerangnya! Tiba – tiba kesemua Reptilian – Reptilian Grogan itu hancur berkecai dan cebisan daging tubuh mereka bertaburan di atas tanah! Darah hijau memercik kesemua arah, mengenai REFLUCIS dan juga Queen Grogan. Reptilian – Reptilian Grogan yang lain pun segera menyerbu REFLUCIS, namun nasib yang sama menimpa mereka, kekuatan REFLUCIS itu betul – betul menggerunkan!
“Kau mahu semua ‘anak’ kau mati sia – sia ‘Queen’?” kata REFLUCIS sambil mengukir senyuman mengejek.
Queen Grogan sedar dia tidak mungin dapat menentang REFLUCIS di hadapannya. Ia segera memerintahkan anak – anaknya untuk berundur dan jangan berbuat apa – apa. Queen Grogan berjalan mengelilingi REFLUCIS sambil berdesis, ‘berkomunikasi’ dengan REFLUCIS. REFLUCIS yang berjubah merah itu langsung tidak takut dengan Queen Grogan yang tingginya hampir mencecah 7 kaki.
“Aku tidak ingin bermusuhan dengan kau Queen. Malah, aku datang ingin memberikan kau hadiah,” kata REFLUCIS.
Queen Grogan berhenti mengelilinginya. Ia berdesis lagi, mulut serangganya bergerak – gerak menurut bunyi desisan yang dikeluarkannya. REFLUCIS ketawa kecil dan berjalan menuju ke Kokun Darah di belakang Queen Grogan. Dia mencelupkan jarinya ke dalam takungan darah di dalam kokun itu dan menghisap darah yang ada di hujung jari. “Kau tidak memerlukan bantuan aku? Kau jangan lupa Queen, kalau bukan aku, kepala kau tentu sudah hancur ditembak oleh Kaum Samarian yang kau laknati itu!”
Queen Grogan berasa marah mendengar kata – kata REFLUCIS, ia pun mengangkat cangkuknya  untuk memenggal kepala REFLUCIS yang bemulut lancang! Tiba – tiba mata REFLUCIS pun bernyala dengan aura merah seperti darah! Pada masa itu juga tubuh Queen Grogan menjadi kaku dan tidak dapat bergerak. Queen Grogan cuba untuk menggerakkan anggota tubuhnya namun gagal, seluruh tubuhnya seolah – olah dikunci oleh suatu kuasa yang misterius. REFLUCIS mencekik leher Queen Grogan dengan kuat. Melihat permaisurinya dalam bahaya, seekor Reptilian Grogan melompat dan menyerang REFLUCIS dari belakang! REFLUCIS mengalihkan pandangannya ke arah Reptilian Grogan, dan mengacukan telapak tangan kanannya. Serentak itu juga tubuh Reptilian Grogan itu meletup dan hancur menjadi daging cincang!
REFLUCIS mendekatkan muka Queen Grogan ke mukanya. “Dengar sini Queen, kau berhutang dengan aku. Kalau kau tidak ingin dihancurkan macam anak kau tadi, ada lebih baik kamu mendengar kata – kata aku,” REFLUCIS melemparkan Queen Grogan di hadapannya. Queen Grogan terbatuk – batuk, lehernya terasa sakit sekali. Memang benar, kalau REFLUCIS ingin memusnahkan Queen Grogan dan anak – anaknya, perkara itu adalah amat mudah sekali. Queen Grogan sedar ia perlu bertindak bijak, ia pun mendesis, setuju dengan kata – kata REFLUCIS. Makhluk – makhluk asing itu pun bersujud tanda hormat kepada ‘Tuan’ baru mereka.
“Bagus! Nampaknya hidupan primitif macam kau ini juga pandai berfikir,” REFLUCIS ketawa terbahak – bahak gembira dengan penyerahan diri Queen Grogan. “Sebagai menghargai kesetiaan baru kamu semua, biar aku memberikan permaisuri kamu ‘hadiah’!” REFLUCIS mengacukan tangan kanannya ke depan dan suatu arus elektrik berwarna merah mengalir dan mengenai tubuh Queen Grogan! Queen Grogan pun meraung kesakitan ketika arus elektrik berkuasa tinggi itu mengenai tubuhnya. Suatu fenomena yang ajaib pun mulai berlaku pada sel – sel dan DNA Queen Grogan. Sel – selnya sedang mengalami proses evolusi yang teramat cepat. Kuasa REFLUCIS itu mengubah setiap selnya menjadi suatu sel hybrid baru yang berkuasa tinggi. Selepas beberapa saat, Queen Grogan pun berhenti menggelepar di atas tanah. Asap merah nipis muncul dari tubuh Queen Grogan. REFLUCIS tersenyum melihat Queen Grogan yang diam tidak bergerak.
“Bangun, Queen, dan lihatlah tubuh baru kurniaan aku!” kata REFLUCIS.
Perlahan – lahan Queen Grogan bergerak. Ia pun berdiri. Ia dapat merasakan suatu perubahan yang besar telah berlaku kepada tubuhnya. Ia merasa lebih kuat dan bertenaga dari yang sebelumnya. Queen Grogan melihat kedua – dua tangannya. Sekali lagi ia merasa terkejut. Tangannya kini menyerupai tangan manusia cuma cengkerang keras asalnya masih menutupi keseluruhan lengannya itu. Cangkuk di tangan kanannya kini telah berubah menjadi sebuah parang lengkung yang amat panjang dan kini melekat di lengan kanannya. Queen Grogan juga perasan sayapnya telah bertambah besar dan kuat. Hatinya berasa teramat gembira. Ia menyentuh wajahnya dan berjalan mendekati alur sungai yang berdekatan. Queen Grogan dapat melihat wajahnya dengan jelas melalui refleksi air sungai. Wajah Queen Grogan telah berubah mirip manusia ataupun lebih tepat lagi, mirip wajah seorang wanita yang jelita.
“Mulai hari ini nama kau adalah ‘EVA’,” kata REFLUCIS kepada Queen Grogan.
“EVA?” kata Queen Grogan. Ia berasa agak terkejut apabila menyedari ianya dapat bertutur dalam bahasa manusia.
“Ya, EVA. Kerana kau adalah ibu kepada generasi Grogan yang baru nanti,” jawab REFLUCIS dan berjalan menuju ke alur sungai yang sama. REFLUCIS berdiri di sebelah Queen Grogan. Queen Grogan yang kini dipanggil EVA itu melihat refleksi wajahnya tanpa berhenti – henti. REFLUCIS gembira kerana dapat ‘menundukkan’ ibu kepada Makhluk Grogan itu dengan kuasa dan tipu helahnya. Apakah agaknya tujuan sebenar REFLUCIS membantu EVA?
“Boleh kami tahu kenapa kau ingin membantu kami?” tanya EVA dengan suaranya yang kini seperti suara wanita berusia awal 30 an.
“EVA tak perlu fikirkan tentang itu. Aku ikhlas ingin membantu EVA. Tidakkah EVA ingin membunuh Samarian durjana yang hampir – hampir mencabut nyawa EVA tempoh hari?” jawab REFLUCIS.
EVA teringat kembali kekalahannya di tangan VAHSYAH (Rayz) di Bandar Raya Tawau. Hatinya dibakar api kegeraman yang tidak terhingga. EVA pun berteriak dengan nyaring sekali! Suara teriakannya itu teramatlah nyaring dan menakutkan sehinggakan ribut taufan yang amat ganas tiba – tiba melanda hutan di daerah Sipitang. “Samarian durjana! Kami akan merobek jantungnya dan memicitnya sehingga pecah!” jerit EVA dengan suara yang keras.
REFLUCIS tersenyum semula, memperlihatkan barisan giginya yang putih bersih. Dia mengeluarkan sesuatu dari jubah merah yang dipakainya. Sebuah objek pelik yang berbentuk bulat berada di atas tapak tangan kanannya. Objek itu berwarna ungu dan bersisik. Terdapat urat – urat yang pelik berwarna emas melingkari objek tersebut. EVA melihat objek itu dengan perasaan yang hairan. “Apakah itu?” tanya EVA kepada REFLUCIS.
“EVA ingin membalas dendam terhadap Kaum Samarian itu kan? ‘Benih’ ini boleh membantu EVA merealisasikan impian EVA itu,” jawab REFLUCIS.
“Benih? Kami tak perlukan semua itu. Kami boleh ‘melahirkan’ anak yang baru untuk membunuh Samarian durjana itu dan menghancurkan planet ini!” kata EVA. Wajahnya tampak yakin dapat menewaskan Rayz dan saudara – saudara Samariannya.
REFLUCIS ketawa terbahak – bahak mendengar kata – kata EVA itu. “Lucu benar kau ini, agaknya EVA telah terlupa bagaimana dengan mudahnya Kaum Samarian itu membunuh anak EVA yang besar itu? Dan kini EVA berkeyakinan untuk menghantar anak yang baru untuk membunuhnya?”
EVA terdiam mendengar kata – kata REFLUCIS. Benar kata tuan barunya itu. Kekuatan milik Samarian yang bertempur dengannya di Bandar Raya Tawau tempoh hari benar – benar menggerunkan. Ada baiknya dia menerima saja bantuan dari tuan barunya itu.
“EVA tak usah berfikir dengan panjang. Terimalah benih ini, semailah ia dan berikan ia zat makanan yang secukupnya. Apabila tiba saatnya, ia akan menetas dan raksasa pembinasa yang tidak ada tanding taranya akan dilahirkan di planet ini. Pada saat itu, Kaum Samarian durjana itu juga tidak akan dapat menewaskan ia. Dan EVA akan dapat mengecap kenikmatan menyembelih Kaum Samarian dan makhluk Bumi yang primitif ini!”hasut REFLUCIS. EVA berasa teruja mendengar apa yang dikatakan oleh REFLUCIS. Ia pun mengambil ‘benih’ itu dari tangan REFLUCIS dengan rakus lalu mengusapnya seperti mengusap bayi yang baru dilahirkan.
“Bagus! Sekarang EVA harus mencari tempat untuk menyemai benih itu. Tempat yang sesuai adalah di situ!” REFLUCIS menundingkan jari telunjuknya di puncak Gunung Kinabalu.
“Mengapa di situ? Kami tidak faham?” soal EVA.
“Ha ha ha, kamu akan faham suatu hari nanti. EVA tak perlu fikirkan sangat tentang itu. Ikut sajalah arahan aku. EVA hanya perlu berikan ia ‘zat makanan’ yang mencukupi, dan EVA tentu faham apa yang aku maksudkan itu kan?” jawab REFLUCIS dengan senyuman misteri.
“Baiklah. Kami akan laksanakan seperti yang diarahkan oleh tuan kepada kami,” balas EVA sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat.
REFLUCIS melangkah meninggalkan kawasan itu. Dalam sekelip mata dia ghaib bagaikan hantu. EVA atau Queen Grogan yang kini berwajah manusia itu memandang semula ‘benih’ yang ditinggalkan oleh RFLUCIS. Ia dapat merasakan kekuatan yang amat menakutkan datang dari dalam ‘benih’ itu. Reptilian – Reptilian Grogan yang berada di situ mulai mengerumuni EVA. EVA bertempik dan berlari meninggalkan tempat itu juga, beratus – ratus Reptilian Grogan yang berada di situ mengikutnya dari belakang. Ke mana agaknya EVA akan pergi? Apakah sebenarnya ‘benih’ yang diberikan oleh REFLUCIS itu?
The Plot thickens....Muaha ha ha ha :)

1 comment:

Anonymous said...

nextt...