Sunday, September 13, 2009

Chapter 14



CHAPTER 14 : Rayz’s Dream – An Ancient Memory

Tempat : Rumah Sewa Rayz, Bandar Raya Kudat

Masa : 03.30 AM

Tarikh : 04 Disember 2009

Rayz sedang berdiri di sebuah kemuncak batu yang tinggi. Di sekeliling kemuncak batu itu terdapat hutan rimba yang tebal. Pokok – pokoknya terdiri dari pokok yang tinggi – tinggi belaka. Ketinggiannya mungkin mencapai hampir 30 meter. Yang anehnya, Rayz tak pernah melihat pokok – pokok jenis seperti itu. Segala – gala yang berada di sekelilingnya kelihatan aneh dan amat sukar untuk dipercayai.

Selepas mengamati keadaan sekeliling, Rayz membuat keputusan untuk menuruni kemuncak batu tersebut dan mencari jalan keluar dari tempat misteri itu. Rayz pun berhati – hati menuruni kemuncak batu yang agak tinggi itu. Sebaik sahaja di berada di atas tanah, Rayz pun berjalan meredah rimba yang luas di hadapannya.

Sepanjang perjalanannya, dia bertembung dengan beberapa serangga yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Saiz serangga – serangga yang dilihatnya itu berkali – kali ganda lebih besar dari saiz serangga yang pernah dilihatnya. Sekali – sekala Rayz terdengar bunyi binatang yang tidak pernah didengarinya sebelum ini. Bunyi tersebut datang dari arah hadapannya.

Rayz mempercepatkan langkahnya untuk melihat binatang apakah yang membuat bunyi tersebut. Selepas berjalan meredah rumput – rumput yang tebal, Rayz pun sampai di sebuah tempat yang agak luas. Di situ terdapat sebuah sungai dan air terjun yang teramat cantik. Kawasan sekeliling tempat tersebut dipenuhi bunga yang cantik dan batu – batan yang berada di sekeliling sungai itu juga berkilau – kilau apabila terkena cahaya matahari. Rayz tak pernah melihat sebuah tempat secantik itu. Bunyi yang tadi menarik perhatian Rayz itu tidak lagi kedengaran.

Tiba – tiba, tanah yang berada di bawah kaki Rayz bergegar dengan kuat. Rayz hampir – hampir rebah kerana gegaran tersebut. “Apa yang berlaku ni?” kata Rayz. Gegaran itu bertambah kuat dan Rayz dapat mendengar bunyi derapan tapak kaki yang kuat sedang menuju ke arahnya. Rayz mengalihkan pandangannya ke arah bunyi derapan kaki tersebut.

Betapa terkejutnya Rayz apabila melihat berpuluh – puluh Dinosaur berleher panjang sedang berlari menuju ke arahnya. Gegaran yang dirasakan oleh Rayz itu datang dari tapak – tapak kaki Dinosaur yang sedang berlari ketakutan itu. Rayz pun berlari dan bersembunyi di sebalik sebuah batu yang besar dengan pantas. Dinosaur – Dinosaur berlari melintasi batu tempat Rayz bersembunyi itu. Tiba – tiba bunyi binatang yang menarik perhatian Rayz itu kedengaran semula. Rayz memberanikan dirinya melihat apakah benda yang membuat bunyi tersebut.

Seekor Dinosaur yang amat ganas sedang membaham leher seekor Dinosaur berleher panjang tidak berapa jauh dari tempat Rayz bersembunyi itu. Selepas itu, ia meratah perut mangsanya dengan rahang dan giginya yang tajam. Darah segar memancut – mancut dari perut Dinosaur yang kasihan itu. Berderau darah Rayz melihat kejadian tersebut. Rayz kenal Dinosaur itu, Tyrannosaurus Rex. Dinosaur pemangsa yang paling kuat dan paling ganas pernah hidup di muka bumi ini!

Rayz tidak ingin menjadi ‘pencuci mulut’ binatang prasejarah itu. Dia mesti melarikan diri dari tempat itu sebelum nyawanya sendiri dalam bahaya. Selepas membuat keputusan tersebut, Rayz menarik nafas dan membuka langkah seribu menuju ke dalam hutan rimba itu semula. Rayz terus berlari tanpa menoleh ke belakang. Apa yang ada dalam fikirannya sekarang ialah menjauhkan diri dari binatang pemangsa itu.

Selepas berlari selama 30 minit, Rayz pun berhenti dan berehat di atas akar sepohon pokok yang besar. Jantungnya masih lagi berdegup dengan pantas walaupun dia tidak lagi berlari. Ingatannya tertumpu semula kepada kejadian ngeri yang disaksikannya tadi. Sesungguhnya Rayz benar – benar tidak tahu bagaimana dia berada di tempat pelik itu secara tiba – tiba. Seingatnya, dia masuk ke bilik dan tidur selepas menonton tayangan Late Show With David Letterman. Sedar – sedar sahaja, dia sudah pun berada di tempat asing itu.

Tiba – tiba Rayz terlihat sebuah bangunan kuno tidak berapa jauh dari tempat dia duduk. Lantas, dia membuat keputusan untuk berlari menuju ke arah bangunan tersebut. Manalah tahu ada orang yang boleh membantunya. Rayz terpaksa menuruni sebuah curam yang tinggi sebelum tiba di hadapan bangunan kuno itu. Bangunan kuno itu berbentuk segitiga dan kelihatan hampir sama dengan piramid di mesir. Apa yang membezakannya ialah terdapat empat buah tiang yang amat tinggi di setiap penjuru piramid tersebut. Rayz memberanikan diri menaiki tangga piramid itu.

Selepas memanjat berpuluh – puluh buah anak tangga, Rayz pun tiba di puncak tertinggi piramid purba tersebut. Piramid itu seolah – olah tidak memiliki pintu. Yang ada cuma sebuah sfera yang berwarna biru tua. Terdapat tulisan – tulisan asing pada sfera di atas piramid tersebut. Yang amat menghairankan Rayz ialah dia seolah – olah tahu maksud tulisan tersebut walaupun dia tidak pernah melihatnya sebelum ini. Tulisan itu berbunyi,”PUT YOUR HAND ON THE SPHERE. IF YOU ARE A FRIEND, THE WAY SHALL BE OPENED FOR YOU.” Tanpa berfikir panjang, Rayz meletakkan tapak tangan kanannya di atas sfera tersebut.

Tiba – tiba sfera itu mengeluarkan cahaya berwarna biru yang menyilaukan mata. Rayz menutup mata dengan kedua – dua tangannya secara spontan. Keadaan agak kelam – kabut buat seketika. Beberapa minit kemudian, cahaya yang menyilaukan itu pun beransur – ansur hilang. Rayz membuka kelopak matanya. Dia kini berada di dalam satu bilik yang asing. Dinding bilik itu seolah – olah diperbuat bahan seperti waja. Ianya juga dipenuhi oleh tulisan – tulisan yang sama seperti yang terdapat di atas sfera tadi. Keadaan di dalam bilik itu agak suram.

Rayz memerhatikan keadaan sekeliling. Dia terlihat satu lorong di sebelah kiri bilik tersebut. Rayz pun berjalan menuju ke lorong tersebut. Sebaik sahaja Rayz menjejakkan kaki ke dalam lorong itu, berpuluh – puluh bebola berwarna biru yang berada di dinding lorong itu pun menyala secara tiba – tiba. Rayz agak terkejut dengan kejadian itu namun dia tetap berjalan maju ke hadapan. Selepas berjalan beberapa minit, Rayz pun sampai ke penghujung lorong tersebut. Dia sedang berada di dalam sebuah tempat yang mempunyai ruang yang amat luas.

“Tempat ni macam sebuah kuil...” getus hati Rayz. Terdapat 14 buah tiang di tepi kuil tersebut. Di setiap tiang terdapat arca yang tidak dikenali oleh Rayz. Arca – arca itu kelihatan seperti patung – patung dewa pada zaman Yunani lama. Lantai kuil tersebut diperbuat daripada bahan seperti waja, sama seperti dindingnya. Tulisan – tulisan yang sama turut menghiasi dinding kuil tersebut. Rayz mengamati setiap pelusuk kuil tersebut. Muncul tanda tanya di dalam dirinya. Siapa yang membuat tempat ini? Untuk apa?

Rayz tidak ingin berada lebih lama di situ. Seboleh – bolehnya, dia ingin pulang ke rumahnya secepat yang mungkin. Tiba – tiba Rayz terlihat sesuatu yang amat dikenalinya. Di depan kuil tersebut terdapat satu patung yang lebih besar daripada yang lain. Rayz pun berjalan menghampiri patung tersebut. Dia mendongak dan menumpukan perhatiannya kepada patung tersebut. “It’s you...” kata Rayz. Patung itu berbadan seperti manusia. Ianya memakai zirah dan memegang sebilah pedang dengan kedua – dua belah tangannya. Yang membezakan patung itu dari manusia ialah wajahnya. Wajahnya kelihatan seperti robot, dengan dua mata yang bulat dan besar.

Tiba – tiba kedengaran satu suara misteri berkata – kata kepada Rayz. “THE LIGHT OF THE DUNAMIST WILL SHINE AND PROTECT THIS PLANET FROM ANCIENT EVIL.” Suara itu berkata – kata menggunakan bahasa yang tidak pernah didengari oleh Rayz tetapi entah mengapa dia boleh memahaminya.

Rayz kenal suara itu. Suara yang sering berkata – kata kepadanya setiap kali dia memasuki kuil tersebut. Rayz tak tahu ianya milik siapa tetapi yang pasti, ianya datang dari patung gergasi tersebut. Siapakah patung itu, Rayz tak tahu tetapi Rayz pasti ianya bukan entity yang jahat.

“GO, AND TAKE THE XYVER INSIDE THE BOX AND FULFILL YOUR DESTINY, DUNAMIST,” kata suara misteri itu lagi.

Rayz mengalihkan pandangannya kepada sebuah kotak berwarna perak di atas sebuah altar. Altar itu berada di bawah kaki patung gergasi tersebut. Rayz mendekati kotak tersebut dengan spontan. Hatinya benar – benar ingin mengetahui apakah yang ada di dalam kotak tersebut.

Terdapat tulisan yang sama di atas kotak tersebut. Kali ini ianya berbunyi, “THOSE WHO HOLD THIS RELIC WILL INHERIT OUR HOPE AND OUR DREAMS.” Kotak itu tekatup dengan rapat. Terdapat 3 buah lubang kecil di atas kotak tersebut. Rayz seolah – olah tahu bagaimana untuk membuka kotak tersebut. Rayz memasukkan jari telunjuk, jari tengah dan ibu jarinya ke dalam lubang yang berkenaan. Sejurus kemudian, kotak itu pun terbuka. Asap yang berwarna biru keluar daripada kotak tersebut.

Di dalam kotak tersebut terdapat satu objek berbentuk X. Objek itu amat dikenali oleh Rayz. Ianya objek yang sama digunakannya untuk mengalahkan makhluk asing di Pelabuhan Bandar Raya Kudat tempoh hari. “Tetapi mengapa ianya di sini? Bukankah objek ni dengan Colline?” Kata Rayz pada dirinya sendiri. Rayz menghulurkan tangannya untuk menyentuh objek itu semula. Tiba – tiba dia terdengar bunyi loceng yang amat nyaring!

*KRING! KRING! KRING!*

Rayz terkejut dan bingkas bangun dari katilnya. Badannya yang tegap itu habis basah oleh peluh dingin. Dia segera mencapai jam loceng tadi dan menekan butang yang ada di atasnya. Serta – merta bunyi loceng yang nyaring itu pun berhenti. Rayz melihat jarum pada jam loceng tersebut. Ianya menunjukkan jam 05.00 pagi. “Saya bermimpi lagi...” kata Rayz. Rayz benar – benar hairan mengapa sejak akhir – akhir ini dia sering mengalami mimpi yang sama berkali – kali.

Rayz cuba mengingat butir mimpinya tadi. Dunia prasejarah, piramid kuno, tulisan asing, patung gergasi dan sekarang ni, objek berbentuk X seperti yang dimiliki oleh Colline. Mengapa objek itu tiba – tiba muncul dalam mimpi Rayz kali ini? Seingat Rayz, ini ialah kali ke 13 dia mengalami mimpi yang sama. Bezanya kali ini ialah, dia melihat ada sebuah kotak di bawah kaki patung gergasi tersebut. Sebelum ini, mimpinya akan berakhir begitu sahaja selepas dia bertemu dengan patung gergasi tersebut.

Rayz mengusap mukanya dengan tapak tangannya. Dia memejamkan mata, cuba mencari apakah kaitan mimpi tersebut dengan dirinya. Namun otaknya enggan membantunya mencari jawapan. Rayz langsung tidak dapat memikirkan apa – apa yang boleh menyelesaikan misteri mimpinya itu. “Arghh!” jerit Rayz dalam hatinya. Dia menggaru – garu kepalanya dengan kasar. Dia mendengus dan bangun dari katilnya.

“Tak payah susahkan diri berfikir. Mandi lagi baik,” bisik hatinya. Dia membuka track suit yang dipakainya lalu mencapai tuala berwarna biru berdekatan meja tulisnya itu. Kemudian dia pun berjalan menuju ke bilik air bertentangan dengan biliknya. Rayz terlihat Fren sedang tidur terbongkang di depan televisyen. “Tengok bola sampai pagi la tu,” bisik hati Rayz. Rayz mendekati Fren dan cuba membangunkannya. “Fren, bangun! Hari dah pagi. Kamu mahu berkerja atau tidak ni?” tanya Rayz. Fren cuma membalas kata – katanya dengan senyuman ‘pelik’ dan meneruskan tidurnya. Rayz menggeleng – gelengkan kepala melihat gelagat kawan karibnya itu.

Beberapa minit kemudian, Rayz pun selesai mandi. Fren pula masih lagi tidur di tengah – tengah ruang tamu rumah sewa mereka itu. Dia masih lagi membuat senyuman ‘pelik’ yang dibuatnya tadi. “Mimpi bestlah tu,” kata Rayz sambil menjuihkan mulutnya. Rayz tiba – tiba terfikirkan sesuatu. Dah lama dia tidak menggunakan taktik istimewanya untuk membangunkan Fren. “Apa kata saya gunakannya hari ini,” kata Rayz, tersenyum ‘jahat’.

*BUSH!*

“Huh? Hah? What happened? Tsunami datang?” Fren terpinga – pinga bangun dari tidurnya tatkala air sesejuk ais tiba – tiba membasahinya. Rayz pula sedang ketawa terbahak – bahak di sebelahnya, dia sudah pun bersiap untuk bekerja. “Rise and shine sleeping beauty! Enjoyed your shower?” kata Rayz sambil ketawa memegang perutnya. Reaksi Fren yang terkulat – kulat itu benar – benar melucukannya. Fren merenungnya dengan tajam dan terus ketawa bersama – samanya.

************************************************************************

Tempat : Eduardo Pharmacy

Masa : 12.30 PM

Tarikh : 04 Disember 2009

Sekarang ialah masa rehat bagi pekerja – pekerja farmasi Encik Eduardo. Fren dan Lee sudah lama meninggalkan kedai itu untuk pergi makan di restoran yang berdekatan. Hari ini Rayz dan Ady terpaksa bekerja syif tengah hari di kaunter pemberian ubat memandangkan pharmacist yang bertugas hari itu terpaksa bercuti. Kebiasaannya, mereka cuma bertugas memeriksa bekalan ubat di stor.

Terdapat beberapa orang pelanggan sedang menunggu untuk mengambil ubat mereka di ruang menunggu. Ady bertugas di kaunter manakala Rayz pula berada di kabinet belakang, sedang melekatkan teg nama ubat – ubatan pada botol kosong. Ady sedang melayan seorang gadis berusia 16 tahun di kaunter. Gadis itu meminta Ady menjualnya ubat pencegah hamil.

“Minta maaf dik, kami tak boleh menjual ubat tersebut kepada pelanggan berusia kurang dari 18 tahun,” terang Ady dengan sopan kepada pelanggan muda tersebut.

“Tak apalah. Berapa – berapa harganya pun saya akan bayar,” jawab gadis itu sambil mengeluarkan beberapa keping wang kertas 50 Ringgit Malaysia.

“Ini bukan soal wang cik. Mengikut polisi perubatan kami, kami tak dibenarkan menjual ubat ni pada pelanggan macam cik ni,” balas Ady pula.

“Alah, abang bagi sajalah. Tak ada orang akan tahu punya!” kata gadis itu pula.

“Maafkan saya. Kalau saya buat begitu, nanti saya akan dibuang kerja.”

“Abang ni kedekut lah. Macam mana nak untung kalau kena ikut polisi ni, polisi tu!” marah gadis itu. Ady sekadar tersenyum dan tetap mengatakan dia tak boleh menjualkannya ubat tersebut. Gadis itu mendengus dan meninggalkan kedai itu dengan marah. Sesekali kedengaran maki hamunnya di luar kedai tersebut.

Rayz yang berada di belakang sekadar tersenyum melihat gelagat gadis tersebut. Sejak dia bekerja di kedai itu, bermacam – macam jenis pelanggan yang ditemuinya. Ada yang sopan ada pula yang kurang ajar. Pernah sekali seorang pelanggan lelaki ingin membeli Viagra tetapi ditegah oleh Rayz kerana beliau menghidap penyakit lemah jantung. Lelaki tersebut mengugut akan melaporkannya kepada Persatuan Pengguna kerana Rayz tidak melayan kehendak pelanggan. Tetapi Rayz tidak berasa takut kerana dia cuma mengikut polisi perubatan kedai mereka. Akhirnya lelaki itu membatalkan niatnya. Namun demikian, Rayz dan kawan – kawannya tetap melayan kesemua pelanggan dengan sopan.

Jam menunjukkan jam 5.30 petang. Fren dan Lee sedang sibuk memunggah kotak – kotak ubat dari van untuk dimasukkan ke dalam stor. Rayz dan Ady pula sedang duduk di sebuah kerusi panjang tidak berapa jauh dari stor tersebut. Mereka sedang berbual tentang mimpi yang dialami oleh Rayz sejak kebelakangan ini.

“Maksud Rayz, ini dah masuk kali ke 13 Rayz mengalami mimpi yang sama?” tanya Ady kepada Rayz.

“That’s what I said. Entahlah, Rayz pun tak faham kenapa mimpi itu kerap berulang. It doesn’t make any sense,” jawab Rayz. Rayz membelai – belai rambutnya yang kian memanjang itu. Dia merasa agak malu kerana memberitahu perihal mimpi peliknya itu kepada Ady.

Ady menyentuh dagunya buat seketika. Dahinya berkerut – kerut cuba mencari idea yang sesuai untuk dikatakannya kepada Rayz. “Mungkin mimpi Rayz tu ingin memberitahu Rayz sesuatu kot?” katanya selepas berfikir seketika.

“Kalau pun betul, apa yang ingin disampaikannya?” balas Rayz. Sesungguhnya mimpi itu benar – benar enigma dan misterius baginya.

“Maybe mimpi tu nak bagi Rayz nombor ekor?” teka Ady pula.

Rayz memandang wajah kawan karibnya itu. Mata mereka bertembung dan Ady pun ketawa. Rayz sekadar tersenyum melihat telatah kawan karibnya itu. Adalah amat sukar bagi Ady untuk cuba menafsir mimpi tersebut. Bagi Ady, mimpi itu cumalah mainan tidur. Ada kemungkinan mimpi itu muncul kerana Rayz kerap menonton filem seram setiap tengah malam. Tetapi yang menghairankan, mimpi itu tetap berulang sekalipun Rayz tidak lagi menonton filem seram pada waktu tengah malam. Malah, mimpi itu tetap sama. Rayz akan berada didalam dunia prasejarah, dia masuk ke dalam piramid misteri, bertemu dengan patung dewa gergasi dan akhirnya dia akan terbangun.

“Hey, I just remembered something!” tiba – tiba Rayz berkata, separuh menjerit.

Kelakuannya itu menghentikan gelak ketawa Ady. “Teringatkan apa?” tanya Ady.

“Ada satu benda yang agak berbeza dengan mimpi yang Rayz alami semalam dengan mimpi – mimpi yang sebelumnya,” terang Rayz.

“And what was that?”

“Kemunculan objek berbentuk X.”

“Objek berbentuk X?”

“Ya. Biasanya mimpi Rayz akan berakhir sebaik sahaja Rayz bertemu dengan patung dewa gergasi tersebut. Kali ini, mimpi itu agak panjang di mana Rayz bertemu dengan sebuah objek berbentuk X di dalam sebuah kotak. Suara dalam mimpi itu berkata, objek itu bernama Xyver,” terang Rayz dengan bersungguh – sungguh.

“I see your point. But, how does it solve the mystery?” soal Ady lagi.

“Rayz pernah bertemu dengan objek itu di dunia sebenar! Di Pelabuhan Bandar Raya Kudat!”
Ady menggaru – garu kepalanya yang tidak gatal. Otaknya cuba untuk menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Rayz. Tetapi akhirnya dia berputus asa. “Boleh tak Rayz terangkan lebih jelas,” pinta Ady.

Rayz membetulkan duduknya dan berkata,”Rayz pernah bermimpi 12 kali sebelum yang ke 13. dalam kesemua 12 mimpi itu, Xyver tak pernah muncul. Dalam mimpi yang ke 13 pula, barulah Xyver tiba – tiba muncul. Rayz ada bertembung dengan gadis yang mengkaji Xyver itu.”

Rayz pun menceritakan apa yang pernah berlaku kepadanya sewaktu dia menyelamatkan Colline tempoh hari kepada Ady. Ady cuma mengangguk – angguk sambil mengiakan kesemua yang diceritakan oleh Rayz itu.

“Pada pendapat Rayz, mungkin jawapan bagi misteri mimpi Rayz itu ada pada Xyver. Dan Xyver itu pula ada bersama dengan Colline di ISRC Cawangan Sabah,” tambah Rayz lagi. Mukanya nampak bersemangat sewaktu menerangkannya kepada Ady.

“I hate to break it to you Rayz, tapi Rayz tahu bagaimana nak berjumpa dengan wanita bernama Colline tu? Lagipun, setahu Ady, bangunan ISRC tu dikawal ketat dan cuma orang tertentu sahaja boleh memasukinya,” balas Ady pula.

“Oh, man! Betul juga cakap Ady tu... ” kata – kata Ady itu mematikan semangat Rayz yang meluap – luap itu.

Ady mendekati Rayz dan memegang bahu kawan karibnya itu. “Rayz janganlah putus asa dulu. Mungkin suatu hari nanti kebenaran di sebalik mimpi Rayz itu akan terungkai jua. Manalah tahu, wanita bernama Colline itu tiba – tiba datang mencari Rayz pula!” kata Ady sambil tersenyum. Rayz membalas senyumannya. “Yup. I think you’re right bro,” kata Rayz pula. Memandangkan matahari semakin terbenam, Ady dan Rayz pun berjalan menuju ke stor untuk membantu Fren dan Lee.

No comments: