Monday, September 7, 2009

Chapter 9


CHAPTER 9: The Creature’s Rampage

Tempat : Lautan, beberapa ratus kilometer dari Bandar Raya Tawau

Masa : 01.32 AM

Tarikh : 26 November 2009

Lautan pada malam itu agak tenang. Angin yang bertiup menghasilkan ombak yang sederhana besarnya. Bulan bersinar dengan terang di atas langit. Ianya malam yang amat menenangkan bagi penghuni – penghuni lautan tersebut.

Tiba – tiba, ketenangan lautan pada malam itu telah diganggu oleh kehadiran beberapa buah kapal tunda. Kapal – kapal ini adalah milik nelayan – nelayan asing yang cuba menangkap ikan secara haram di perairan milik negara orang lain. Kelihatan kelibat beberapa orang sedang berdiri di belakang kapal – kapal tunda tersebut. Mereka sedang berbual dan bergelak ketawa. Sementara beberapa nelayan yang lain pula sedang merokok dan mengawasi pukat mereka supaya ianya tidak tersangkut.

Salah satu nakhoda kapal tunda itu sedang mengemudikan kapalnya sambil mendengar laporan berita di radio. Bahasa yang sedang digunakan oleh pembaca berita itu ialah bahasa Tagalog. Ini bermaksud kapal – kapal itu datang daripada kepulauan Filipina. Pembaca berita itu sedang melaporkan penemuan meteorit berwarna biru dan hijau yang telah jatuh terhempas di Sabah. Selepas itu pemberita itu mengalih tajuk beritanya kepada serangan makhluk asing di Pelabuhan Bandar Raya Kudat siang tadi.

Nakhoda itu ketawa sendirian setelah mendengar berita tersebut. Kemudian dia meludah ke dalam sebuah bekas berhampiran dengan roda kemudi kapal tersebut. Nampaknya dia tidak percaya dengan berita tersebut. Dia bercakap sesuatu dalam bahasa Tagalog yang bermaksud “Mana ada benda macam tu di dunia ini! Kalau dalam cerita dongeng adalah.”. Selepas itu dia ketawa berdekah – dekah kerana menyangka semua yang didengarnya tadi itu adalah gurauan orang semata – mata.

Tiba – tiba dia terlihat satu bayang di dalam laut sedang meluncur dengan laju ke arah kapal yang sedang dikemudinya. Bayang itu sedang mara dengan kelajuan yang sukar dipercayai. Nakhoda itu berasa cemas dan memanggil dua orang lagi rakannya untuk melihat apakah bayang tersebut. Salah seorang rakan nakhoda itu mengeluarkan binokular kecil dari kocek seluarnya. Dengan bantuan cahaya lampu suluh kapal, beliau dapat melihat bayang itu dengan jelas. Beliau dapat melihat sesuatu yang seperti sirip ikan sedang bergerak membelah air laut dengan kepantasan yang menakjubkan.

Kawan nakhoda yang satu lagi mengarahkan nakhoda itu mengubah haluan kapalnya sebelum kapal mereka bertembung dengan sirip misteri itu. Pemilik binokular itu pula menghubungi rakan – rakan mereka yang berada di kapal yang lain melalui radio dan mengarahkan mereka mengubah haluan secepat yang mungkin. Nakhoda – nakhoda kapal yang lain itu terpinga – pinga dengan arahan lelaki dengan binokular itu.

Sirip itu semakin mendekati kapal – kapal tersebut. Ianya masih lagi bergerak dengan kelajuan yang sama, tanpa mengubah haluannya. Memandangkan masa semakin suntuk, nakhoda kapal tadi berlari ke arah kawan – kawannya dan menyuruh mereka terjun dari kapal itu. Tanpa membuang masa, nakhoda dan kedua – dua kawannya itu berlari menuju ke arah belakang kapal dan terjun ke dalam lautan. Nelayan – nelayan yang lain berasa hairan dengan apa yang dilakukan oleh nakhoda dan 2 kawannya itu.

Sejurus kemudian sirip itu merempuh kesemua kapal tersebut. Semua kapal itu terus hancur dan terbakar di dalam satu letupan yang amat kuat. Serpihan – serpihan kapal itu berterbangan di udara sebelum ianya jatuh semula ke atas laut. Api yang teramat besar sedang menjulang dari bangkai – bangkai kapal nelayan tersebut. Cuma nakhoda dan 2 kawannya tadi terselamat dari malapetaka itu. Mereka melihat api yang sedang membakar itu dengan perasaan ngeri, takut dan terkejut.

Kemudian mereka bertiga terdengar bunyi yang pelik dari dalam laut. Bunyi itu amat menakutkan dan ianya bukannya bunyi yang biasa dibuat oleh makhluk – makhluk yang tinggal di dalam lautan. Ketiga – tiga nelayan tersebut berasa kaget dan berpelukan sesama sendiri. Tiba – tiba mereka terlihat objek seperti sirip ikan muncul tidak berapa jauh dari tempat mereka berada. Objek itu kemudiannya memecut dan meninggalkan tempat itu. ‘Apakah makhluk itu tadi?’ Jelas terpahat pertanyaan ini di atas muka ketiga – tiga nelayan itu...

No comments: