Tuesday, January 15, 2013

Chapter 35 : The Plague - "Reunion" - Part 2


********************************************************
Waktu Malam, Kawasan hutan tebal di Russia...
Pesawat Gardingan yang membawa Putera Dou-Gan dan Kaum Samarian yang lain telah terhempas di hutan ini. Ianya terbakar dengan nyalaan api yang berwarna biru. Kawasan hutan seluas 100 kilometer persegi musnah dan terbakar kesan daripada hempasan pesawat. Tidak lama kemudian, 3 objek seperti UFO muncul di langit di kawasan hutan tersebut. Apabila diamati, ketiga – tiga UFO itu adalah pesawat X-Strider yang dimiliki oleh Rayz, Bre-Ya dan Ka-Zen. Ketiga – tiga pesawat itu pun mendarat di kawasan yang berhampiran. Rayz, Bre-Ya dan Ka-Zen muncul dari kokpit pesawat.
Selepas meninggalkan Pesawat Gardingan sebulan yang lalu, mereka bertiga menyembunyikan diri di Bandar Matunggong dan cuba memulakan kehidupan seperti orang biasa. Ka-Zen dan Bre-Ya bekerja sebagai penjual surat khabar manakala Rayz pula bekerja di sebuah Pejabat Pos berhampiran. Sebab itulah mereka datang ke tempat itu dengan berpakaian seperti orang biasa. Rayz memakai kemeja putih dan tali leher merah, dan dipasangkan dengan seluar hitam dan sepatu hitam. Ka-Zen memakai T-Shirt berkolar dengan jeans dan Bre-Ya memakai mini T-Shirt merah jambu, seluar pendek putih dengan kasut sukan.
Bre-Ya pun berlari menuju ke bangkai pesawat itu seolah – olah mencari sesuatu, Ka-Zen mengekorinya dari belakang. Rayz meliarkan matanya ke kiri dan ke kanan. Hatinya dilanda persoalan, bagaimana pesawat sehebat Gardingan ini boleh terhempas begitu sahaja? Tambahan pula cara pesawat itu meletup dan berkecai adalah lain daripada yang lain. Ianya seolah – olah dicarik – carik bagaikan kepingan kertas. Dahi Rayz berkerut, dia dapat meneka sesuatu yang amat menakutkan telah menimpa pesawat ini. Rayz pun berjalan menuju ke arah Ka-Zen dan Bre-Ya. Bre-Ya kelihatan sedang berlutut di atas tanah dan menangis. Di tangannya ialah pelindung bahu yang dipakai oleh Putera Dou-Gan. Ka-Zen cuba menyabarkannya. Tidak dinafikan Bre-Ya memang tidak lagi mencintai Putera Dou-Gan namun dia juga tidak ingin Putera Dou-Gan ditimpa kemalangan. Rayz bersimpati dengan makciknya itu. Ka-Zen mendekati Rayz dan membawanya jauh sedikit daripada Bre-Ya.
“Rayz, pesawat ini tidak terhempas dengan cara yang normal. Datuk rasa, ada sesuatu yang menyerang pesawat ini dan menyebabkannya terhempas,” Ka-Zen menyuarakan pendapatnya.
“Ya. Apa yang atuk katakan itu memang benar. Atuk rasa Grogan kah yang menyerang pesawat ini?” tanya Rayz.
Ka-Zen mengurut janggutnya. “Tidak, Pesawat Gardingan memiliki teknologi yang tertinggi dari segi persenjataan. Mustahil ada makhluk Grogan boleh menghancurkannya.”
“Queen Grogan itu mampu memanipulasi DNA makhluk di Bumi. Mungkin makhluk yang menyerang pesawat ini adalah makhluk yang sama yang bertempur dengan VAHSYAH di kawasan hutan Bandar Raya Belud?” Rayz menambah lagi.
“Itu adalah mustahil. Pesawat Gardingan ini boleh bertempur dengan satu battalion kapal musuh secara berseorangan tanpa bantuan. Atuk rasa, ada benda lain yang menyebabkannya terhempas,” jawab Ka-Zen lagi.
*SHRK!*SHRK!*
Tiba – tiba kawasan belukar berhampiran bergerak – gerak. Dengan spontan Rayz mengeluarkan Xyver dari poketnya dan menghalakannya ke arah belukar tadi. Aura biru mulai tertumpu di hujung Xyver. Satu lembaga manusia tiba – tiba meluru keluar dari belukar tadi dan segera memeluk Rayz. Rayz terkejut namun dia tidak berbuat apa – apa kerana dia kenal siapakah lembaga manusia itu. Ianya Tengku Puteri Zeyn-Da, dia kelihatan comot dengan kesan arang dan tanah. Tangannya berlumuran darah berwarna kuning, darah Kaum Samarian.
Rayz memegang bahu Puteri Zeyn-Da yang sedang menangis teresak – esak itu. “Tengku Puteri Zeyn-Da! Kamu tak apa – apa?” tanya Rayz.
Puteri Zeyn-Da enggan menjawab dan memeluk Rayz semula dengan erat sekali. Rayz terpaksa memeluknya untuk memujuknya bertenang. Ka-Zen dan Bre-Ya mendekati Rayz dan Puteri Zeyn-Da.
“Tengku Puteri,” kata Ka-Zen dan Bre-Ya, mereka memberikan sujud hormat kepada Puteri Zeyn-Da. Beberapa minit kemudian Puteri Zeyn-Da pun bertenang semula, namun lengan kanan Rayz enggan dilepaskannya. Bre-Ya berasa agak kekok dengan kelakuan Puteri Zeyn-Da itu.
“Tengku Puteri, izinkan patik bertanya, adakah Tengku Puteri tercedera?” tanya Ka-Zen.
Puteri Zeyn-Da menggeleng – gelengkan kepala. “Ini bukan darah Beta, ini darah Paduka Ka-Eil. Dia telah tercedera ketika cuba melindungi Beta.”
“Bagaimana dengan Putera Mahkota Dou-Gan?” tanya Bre-Ya pula. Puteri Zeyn-Da mendiamkan diri dan merapatkan dirinya kepada Rayz. Rayz menggaru – garu kepalanya yang tidak gatal.
“Tengku Puteri, tolonglah beritahu patik apa yang telah berlaku kepada Putera Mahkota Dou-Gan!” Bre-Ya memujuk lagi namun Puteri Zeyn-Da enggan menjawabnya. Dia hanya menangis teresak – esak.
“Ehem. Boleh tunjukkan di mana Paduka Ka-Eil?” Ka-Zen mencelah.
Puteri Zeyn-Da pun memimpin mereka menyusur sebuah lorong di tengah – tengah hutan. Selepas beberapa minit, mereka pun tiba di sebuah gua kecil. Rayz menyalakan henfonnya sebagai lampu. Mereka pun terlihat Grand Duke Ka-Eil sedang terbaring dengan perutnya berlumuran darah, wajahnya pucat lesi. Ka-Zen mendekatinya dan segera merawat luka di perut Grand Duke Ka-Eil itu.
“Paduka Ka-Eil, apa yang telah berlaku?” tanya Ka-Zen.
“Ka-Zen, REFLUCIS tiba – tiba muncul dan menceroboh Pesawat Gardingan. Dia... Dia,” belum pun sempat dia menghabiskan kata – katanya, dia memuntahkan darah yang banyak sekali.
“Ayah, kecederaannya amat parah,” kata Bre-Ya.
“Paduka Ka-Eil tercedera ketika cuba melindungi Beta, Kekanda Dou-Gan pula...” Puteri Zeyn-Da tidak menghabiskan kata – katanya.
Rayz bersimpati dengan keadaan Grand Duke Ka-Eil. Dia pun mengeluarkan Xyver dan mendekatkannya ke luka di perut Grand Duke Ka-Eil. Dengan perlahan – lahan luka itu mulai terkatup semula dan akhirnya sembuh. Grand Duke Ka-Eil berasa hairan mengapa Rayz berbuat sedemikian kerana jarang mana – mana Kerabat Di Raja akan memberi simpati kepada orang bawahannya.
“Te... Terima kasih Tuanku Maharaja, patik terhutang nyawa dengan Tuanku Maharaja,” kata Grand Duke Ka-Eil dan berdiri.
Mereka pun meninggalkan gua tadi dan berkumpul semula di tempat di mana pesawat X-Strider mendarat. Selepas berehat seketika. Barulah Ka-Zen meminta Grand Duke Ka-Eil menceritakan apa sebenarnya berlaku.
“Pesawat Gardingan dalam perjalanan meninggalkan Bumi. Tiba – tiba, suatu letupan berlaku di bahagian perut kapal. Kemudian REFLUCIS muncul di tengah – tengah singgahsana Pesawat Gardingan. Putera Mahkota Dou-Gan memerintahkan para Prajurit Samarian menyerangnya namun kesemuanya terbunuh begitu sahaja. Putera Mahkota Dou-Gan cuba menentangnya namun gagal, dia tewas dan tidak sedarkan diri. REFLUCIS mendekati Tengku Puteri Zeyn-Da, saya cuba melawannya namun...” Grand Duke Ka-Eil tidak dapat menghabiskan kata – katanya kerana dia berasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat melindungi Kerabat Di Raja Xatrian. Ka-Zen memegang bahu Grand Duke Ka-Eil dan memintanya bersabar.
“Paduka Ka-Eil, apa yang berlaku kepada Putera Mahkota Dou-Gan?” tanya Bre-Ya.
“REFLUCIS membawanya pergi, saya tidak tahu mengapa namun Tengku Puteri Zeyn-Da mungkin boleh menjawab persoalan itu,” kata Grand Duke Ka-Eil dan memandang ke arah Puteri Zeyn-Da.
“Tengku Puteri, tolonglah, patik perlu tahu apa yang berlaku kepada Putera Mahkota Dou-Gan,” Bre-Ya memujuk lagi.
Puteri Zeyn-Da mendiamkan diri selama beberapa saat. “REFLUCIS mendekati Beta dan mencekik leher Beta. Dia kata...” Puteri Zeyn-Da mendiamkan diri semula. Kedua – dua tangannya dirapatkan ke dada. Bayangan wajah ngeri REFLUCIS itu bermain – main di kepalanya semula.
“Semuanya okey. Kami semua ada di sini,” Rayz memegang bahu Puteri Zeyn-Da. Puteri Zeyn-Da memandang wajah kacak Rayz. Keyakinan yang tertera pada wajah Rayz itu seolah – olah memberinya kekuatan. Kedengaran Bre-Ya berdehem kecil.
“REFLUCIS berkata, Kekanda Dou-Gan ada dengan dia. Kalau Beta ingin melihat dia selamat, Beta kena mencari dan bertemu dengan Tuanku Maharaja Rayz kerana hanya Tuanku Maharaja Rayz yang akan dapat menyelamatkan Kekanda Dou-Gan. Dia juga ingin Beta menyampaikan suatu pesanan kepada Tuanku Maharaja,” Bre-Ya menyambung kata – katanya.
“Pesanan?” dahi Ka-Zen berkerut.
“Ya,” Puteri Zeyn-Da mengalihkan pandangannya kepada Rayz. “REFLUCIS berkata, TAMBAHKAN LAGI KEKUATAN MU, JIKALAU TIDAK, AKU AKAN MEMBUNUH SATU – PERSATU ORANG YANG ENGKAU SAYANGI DAN KEMUDIAN, AKU AKAN MEMBUNUH MU.”
Entah mengapa angin tiba – tiba bertiup dengan kuat ketika Puteri Zeyn-Da menghabiskan kata – katanya. Rayz juga berasa bulu romanya meremang semacam. Ada aura tekanan datang daripada kata – kata REFLUCIS melalui Puteri Zeyn-Da itu. Saat itu juga Rayz teringatkan Colline. Kata – kata REFLUCIS itu berbaur ancaman yang menakutkan. Namun bahagian ‘menambahkan kekuatan’ itu yang masih mengelirukannya. Itu adalah kata – kata yang sama diucapkan oleh REFLUCIS di dalam ruang mimpinya di Sector-0.
Bre-Ya tiba – tiba memegang lengan kanan Rayz. “Jangan bimbang Rayz, kami tidak akan membiarkan REFLUCIS mengapa – apakan kau.” Air muka Bre-Ya itu kelihatan serius sekali, mencerminkan kemurnian jiwanya untuk melindungi Rayz. “Atuk juga begitu,” tambah Ka-Zen. Rayz terharu dengan kata – kata Bre-Ya dan Ka-Zen.
“Terima kasih atuk. Makcik, jangan bimbang. Rayz pasti akan selamatkan Putera Mahkota Dou-Gan. Rayz janji.”
“Tuanku Maharaja,” kata Grand Duke Ka-Eil.
“Tak mengapa Paduka Ka-Eil, panggil saya Rayz saja. Saya tidak suka dipanggil dengan gelaran itu,” jawab Rayz sambil tersenyum.
“Oh, baiklah. Umm, Rayz, bolehkah patik dan Tengku Puteri Zeyn-Da mengikut Rayz bersama – sama. Kami tidak tahu apa yang perlu kami lakukan sekarang ni.”
“Sudah tentu Paduka Ka-Eil,” jawab Rayz.
Puteri Zeyn-Da tiba – tiba terduduk. Kepalanya berasa sakit sekali, tiba – tiba dia melihat Colline yang sedang dikelilingi beratus – ratus manusia yang telah bertukar menjadi ‘Zombie’. Colline menjerit nama Rayz ketika ‘Zombie – Zombie’ itu menerkam dan memakannya! Tidak lama kemudian bayangan itu hilang dari pandangan mata Puteri Zeyn-Da. Bre-Ya membantunya bangun.
“Tengku Puteri tak apa – apa?” tanya Bre-Ya.
“Umm, Beta tak apa – apa. Pening sedikit sahaja,” jawab Puteri Zeyn-Da. Wajahnya kelihatan pucat sekali, dahinya dibasahi peluh dingin.
“Tengku Puteri, menerima ‘Penglihatan’ lagi?” kata Grand Duke Ka-Eil.
Puteri Zeyn-Da tidak menjawab pertanyaan Grand Duke Ka-Eil. Rayz terpinga – pinga mendengar apa yang dikatakan oleh Grand Duke Ka-Eil tadi. Naluri ingin tahunya pun menguasai diri.
“Paduka Ka-Eil, boleh saya tahu, apa maksud Paduka Ka-Eil dengan ‘penglihatan’?” tanya Rayz.
“Puteri Zeyn-Da ini adalah seorang ‘Nujum’. Dia dikurniakan kuasa oleh Dewa VAHSYAH untuk melihat perkara yang bakal terjadi di masa akan datang. Serangan REFLUCIS itu juga diramalkan oleh Puteri Zeyn-Da namun keadaan agak terlambat bagi kami untuk bertindak mempertahankan diri,” terang Grand Duke Ka-Eil.
“Apa yang Tengku Puteri lihat?” tanya Ka-Zen.
“Makhluk Bumi bernama Colline. Dia akan mati dimakan oleh beratus – ratus makhluk Bumi yang lain,” jawab Puteri Zeyn-Da dengan wajah yang muram.
Rayz amat terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Puteri Zeyn-Da itu. “Tengku Puteri, beritahu saya di mana Colline berada sekarang!” kata Rayz dengan cemas. Wajah Bre-Ya berubah melihat reaksi Rayz apabila nama Colline disebut.
“Adakah dia orang yang penting dalam hidup Tuanku Maharaja?” tanya Puteri Zeyn-Da.
“Lebih daripada nyawa saya sendiri!” jawab Rayz dengan air muka yang serius.
Hati Puteri Zeyn-Da terasa sakit sekali mendengar pengakuan Rayz itu. Adakah dia berasa iri hati dengan makhluk Bumi bernama Colline itu? Mengapa pula dia berasa sedemikian sedangkan dia tidak menaruh apa – apa perasaan kepada Rayz? Kecuali...
“Dia berada di sebuah tempat bernama Bandar Raya Marudu,” jawab Puteri Zeyn-Da pendek.
Tanpa membuang masa Rayz segera berlari menuju ke pesawat X-Stridernya. “Tunggu apa lagi? Kita kena bertolak sekarang!” jeritnya kepada yang lain.
********************************************************
*Short & Simple :) He he.

1 comment:

Anonymous said...

I'm glad this story is still alive :) Been waiting long to read it.