Tuesday, January 22, 2013

Chapter 35 : The Plague - "Reunion" - Part 4


********************************************************
Saliran Bawah Tanah, Bandar Raya Marudu...
Lyneki dan 5 orang anggota SAGI kelihatan sedang berjalan dengan berhati – hati di sistem saliran bawah tanah. Mereka telah mengekori dan menjejaki lendir berwarna hijau yang mereka temui di rumah Pesakit Alpha. Lendir berwarna hijau itu membawa mereka masuk ke dalam saliran bawah tanah melalui penutup lubang pembetung berhampiran rumah berkenaan. Lyneki percaya ‘makhluk’ itu berada di dalam saliran bawah tanah.
Lyneki menghalakan lampu suluhnya ke hadapan sambil mengacukan pistol SOCOM nya ke hadapan. Dia melangkah dengan perlahan, matanya langsung tidak berkedip. Bau hanyir dan busuk memenuhi ruang saliran itu namun itu langsung tidak mengganggu fokus Lyneki. Anggota – anggota SAGI yang mengikutnya dari belakang juga melangkan dengan berhati – hati. Rifle jenis US MARINE SCAR mereka sentiasa dihalakan ke hadapan. Lendir berwarna hijau itu membawa Lyneki dan anak – anak buahnya jauh ke dalam sistem saliran bawah tanah.
Selepas berjalan lebih kurang setengah jam, mereka tiba di sebuah kawasan luas yang membentuk simpang empat. Lyneki melihat ada pergerakan di tengah – tengah ruang simpang empat, dia memberi isyarat kepada anggota – anggota SAGI untuk berhenti bergerak. Lyneki menjulurkan kepalanya sedikit ke hadapan. Alangkah terkejutnya Lyneki apabila melihat apa yang berada di hadapannya. Beberapa ‘makhluk’ yang berbadan seperti manusia tetapi berkepala seperti serangga sedang memunggah ‘sesuatu’ dan mengumpulkannya di tempat itu. Kulit ‘Makhluk’ itu kelihatan seperti cengkerang serangga yang berwarna hijau tua dan Lyneki membuat tanggapan mereka ada kaitan dengan Grogan berdasarkan struktur kulitnya yang serupa dengan G-MOTHER. Lyneki mengeluarkan binokular NVG (Night Vision Goggle) dari saku kot panjangnya. Dia memfokuskan penglihatannya ke arah ‘benda’ yang dipunggah dan dikumpulkan oleh makhluk – makhluk aneh itu.
Jantung Lyneki hampir – hampir berhenti berdegup apabila menyedari apa sebenarnya yang di punggah oleh makhluk – makhluk aneh tadi. Beratus – ratus ‘manusia’ di longgokkan bersama di tengah – tengah ruangan itu, dan mereka semua memiliki simptom wabak yang sedang melanda Bandar Raya Marudu. Lelaki, perempuan, tua, muda, dewasa dan kanak – kanak dilonggokkan bersama – sama di situ. Apa yang lebih mengejutkan Lyneki adalah setiap manusia yang dilonggokkan itu masih lagi hidup dan bernafas! Lantas Lyneki teringat akan laporan kehilangan orang yang kian meningkat di Bandar Raya Marudu. Mungkinkah mereka semua yang berada di sini ini orang – orang yang hilang itu? Mengapa agaknya makhluk – makhluk aneh itu mengumpulkan mereka semua?
Tanpa disedari oleh Lyneki dan anggota – anggota SAGI yang lain, sesuatu sedang berenang di dalam air parit besar berhampiran dengan mereka. Air parit itu kelihatan berombak ketika ‘benda’ itu mendekati mereka. Salah seorang anggota SAGI yang berada paling dekat dengan parit menyedari perubahan air di dalam parit. Dia menghalakan muncung rifle SCAR nya ke arah air. Tiba – tiba seekor makhluk menyerupai seekor ular yang saiznya sebesar kayu balak menyerbu ke arah anggota SAGI tadi dan membahamnya sehingga paras pinggang! Dengan pantas ia menyelam semula ke dalam air parit. Lyneki dan anggota SAGI yang lain segera melepaskan tembakan bertalu – talu ke arah air parit! Makhluk berkepala serangga itu sedar akan kewujudan penceroboh di dalam sarang mereka. Mereka pun segera berlari menuju ke arah Lyneki dan anak – anak buahnya.

Melihat keadaan tidak menguntungkan, Lyneki berteriak mengarahkan anak – anak buahnya berundur dan melarikan diri. Mereka pun berlari semula mengikut jalan mereka masuk tadi sambil melepaskan tembakan ke arah makhluk – makhluk berkepala serangga tadi. Namun, tembakan demi tembakan yang dilepaskan oleh mereka langsung memberi kesan. Peluru mereka hanya melantun apabila menyentuh cengkerang keras yang melindungi tubuh mereka. Seekor makhluk berkepala serangga melompat dan menerkam ke arah salah seorang anak buah Lyneki. Ia mencengkam muka anggota SAGI itu dengan kuat dan menterbalikkan tubuhnya. Mulutnya terbuka menayangkan 4 cangkuk pelik dan sebatang ‘jarum’ yang amat panjang muncul di bahagian mulutnya. Makhluk pelik itu menyucukkan jarum itu tepat ke bahagian belakang anggota SAGI tadi. Anggota SAGI itu menggelepar seketika dan akhirnya pengsan.
“Benda ini yang menyerang Pesakit Alpha rupa – rupanya!” getus hati Lyneki. Dia melepaskan tembakan tepat ke bahagian mata makhluk itu! Makhluk itu meraung kesakitan dan jatuh ke dalam parit. Lyneki mendekati anggota SAGI yang diserang tadi. Nadinya masih ada namun dia langsung tidak bergerak sedikit pun. Urat – urat hijau mulai muncul di bahagian leher anggota SAGI itu. Lyneki yakin, ini adalah simptom yang sama melanda Bandar Raya Marudu. GRAAR! Makhluk seperti ular tadi muncul semula dari dalam air parit dan cuba membaham Lyneki dengan mulutnya yang terbuka luas! Dengan cekap Lyneki mengelak ke tepi, ular raksasa itu membaham konkrit di mana Lyneki berada tadi. Lantai konkrit itu hancur berkecai seperti polisterin. Tanpa membuang masa, Lyneki melepaskan tembakan bertubi – tubi ke bahagian mata ular raksasa tadi namun tiada kesan. Tindakan Lyneki itu hanya membuat binatang itu bertambah marah! Ia cuba mengigit Lyneki semula, Lyneki segera berlari ke dinding dan mendarat di sisi anggota – anggota SAGI yang lain. “Call for reinforcement!” arah Lyneki. Ketiga – tiga anggota SAGI itu mengangguk dan segera berlari ke jalan keluar dari sistem terowong bawah tanah itu.
5 ekor makhluk berkepala serangga tadi melompat dan menerkam ke arah Lyneki. Lyneki mengetap gigi, dan melepaskan pukulan padu Kempo ke arah penyerang – penyerangnya! Dengan tangkas Lyneki mematahkan setiap tulang empat kerat penyerangnya itu kemudian memulas leher mereka sehingga berkeriut, patah. Belum pun Lyneki bersedia ular raksasa itu muncul semula dari dalam air dan menyerangnya! Kali ini Lyneki tidak sempat mengelak, dia pun mengambil suatu ‘senjata’ misteri berbentuk pistol yang berwarna perak dan menghalakannya ke arah rahang ular raksasa. Muncung ‘senjata’ itu memuntahkan peluru tenaga padat berwarna biru! BRAKK! Peluru tenaga itu menembusi kepala ular raksasa itu dan menghancurkannya. Ia pun jatuh semula ke dalam air. Tidak lama kemudian ular raksasa itu pun terapung di atas permukaan air, mati tidak bergerak. Air parit itu bertukar warna menjadi hijau, sama seperti darah G-MOTHER. Cas elektrik berwarna biru masih lagi kelihatan di muncung ‘senjata’ yang baru sahaja digunakan oleh Lyneki. Lyneki mengesat dahinya yang dibasahi peluh. Tidak lama kemudian bunyi tapak kaki yang tersangat banyak kedengaran dari arah simpang empat di tengah – tengah sistem saliran bawah tanah itu. ‘Manusia – manusia’ yang dikumpul oleh makhluk berkepala serangga itu telah pun bangun dan kini berjalan menuju ke arah Lyneki. Wajah mereka pucat sekali tanpa ada apa – apa perasaan. Cara berjalan mereka itu juga pelik, seperti ‘Zombie’. Lyneki dapat melihat salah seorang anggota SAGI yang diserang oleh makhluk berkepala serangga itu juga ada bersama dengan ‘manusia – manusia’ yang telah bangkit. Lyneki tahu keadaan amat bahaya sekarang bagi dirinya, ini kerana kelima – lima makhluk berkepala serangga itu juga mulai bergerak semula. Lyneki tidak membuang masa lagi, dia segera berlari menuju ke arah jalan keluar.
Sebaik sahaja dia keluar dari sistem saliran bawah tanah, sekali lagi Lyneki terkejut. Beratus – ratus orang yang dijangkiti wabak misteri itu sedang berkeliaran di kawasan Bandar Raya Marudu. Bunyi tembakan yang bertalu – talu sayup – sayup kedengaran dari kejauhan. Nampaknya seluruh kawasan Bandar Raya Marudu ini telah dikerumuni penduduk – penduduk yang kini telah menjadi ‘Zombie’. Suara orang menjerit – jerit kesakitan dan meminta tolong juga kedengaran dari pelbagai arah. Bandar Raya Marudu telah bertukar menjadi neraka di atas dunia dalam masa yang sekejap saja. Lyneki sedar, mungkin Bandar Raya Marudu tidak dapat diselamatkan. Dia mengeluarkan sebiji alat kecil yang berwarna hitam. Butang merah di hujung alat itu ditekan. Alat yang digunakan oleh Lyneki itu adalah transmiter isyarat digunakan oleh Pegawai SAGI untuk meminta bantuan kecemasan. “Harap – harap belum terlambat lagi,” bisik hati Lyneki.
Lyneki yakin anggota – anggota SAGI yang lain pasti telah pun menjadi mangsa makhluk berkepala serangga. Lyneki dengan pantas berlari dan menyembunyikan dirinya di sebalik sebuah trak besar. Dia mengeluarkan henfonnya dari kocek kot dan segera mendail nombor Colline namun tidak ada jawapan. Ada sesuatu yang mengganggu talian telefon. Lyneki mendail lagi namun tetap begitu. “Shit!” Lyneki mendengus, dia pun segera memecut ke arah Kem Tindakan Khas ISRC sebelum terlambat.
********************************************************
Waktu malam, Ruang Udara, Russia...
Puteri Zeyn-Da dan Grand Duke Ka-Eil membuat keputusan untuk mengikut Rayz kerana Pesawat Gardingan telah pun hancur. Grand Duke Ka-Eil menaiki pesawat Ka-Zen manakala Puteri Zeyn-Da menaiki pesawat Rayz. Bre-Ya tidak berapa menyukai keputusan Puteri Zeyn-Da tetapi terpaksa diterimanya juga memandangkan Rayz tidak kisah dia menaiki pesawat Stridernya. Mereka semua kini dalam perjalanan kembali ke Negeri Sabah secepat yang mungkin kerana Rayz bimbang dengan keadaan Colline. Puteri Zeyn-Da dapat merasa apa yang sedang bergolak dalam benak Rayz itu. Puteri Zeyn-Da mengenggam batu kristal Aitomo dengan erat. Ianya berkilau dengan terang di dalam genggamannya. Puteri Zeyn-Da memandang belakang kepala Rayz melalui kaca pembahagi kokpit di dalam pesawat Strider.
“Tengku Puteri tak apa – apa?” Rayz menyedarkan Puteri Zeyn-Da dari lamunannya.
“Umm. Ya, beta tak apa – apa. Tuanku Maharaja, boleh beta tanya sesuatu?” kata Puteri Zeyn-Da, tangannya masih mencengkam batu kristal Aitomo dengan erat.
“Boleh, tapi Tengku Puteri kena panggil saya Rayz. Saya tidak berapa selesa dipanggil Tuanku Maharaja,” jawab Rayz sambil tersenyum.
“Baiklah, Rayz. Boleh beta tahu, siapa makhluk Bumi yang beta lihat di dalam penglihatan Beta itu? Rayz seolah – olah amat mengambil berat tentang dirinya.”
Rayz mendiamkan dirinya seketika. Mindanya mengimbas semula saat Colline mengucup bibirnya di Sector-0. Rayz keliru pada ketika itu, namun tidak lagi. Apa yang dirasakan oleh Rayz terhadap Colline kini memang nyata.
“Colline. Namanya Colline. Dia sanggup mengorbankan segala – galanya untuk menyelamatkan Rayz. Rayz terhutang budi kepadanya,” jawab Rayz.
“Rayz terhutang budi? Itu sahaja?” tanya Puteri Zeyn-Da lagi.
Rayz tergelak kecil, “Umm, mungkin bukan itu sahaja.”
“Adakah Tuanku Maharaja mencintai dia?” tanya Puteri Zeyn-Da tanpa berselindung.
“Dulu, saya tidak yakin dengan apa yang saya rasakan. Kini saya yakin. Saya memang mencintai dia,” akhirnya Rayz mengakui bahawa dirinya juga mencintai Colline.
Wajah manis Puteri Zeyn-Da itu bertukar muram. ‘Hatinya’ terasa sakit sekali mendengar apa yang dikatakan oleh Rayz. Puteri Zeyn-Da ingin kata – kata itu diutarakan kepadanya, namun dia juga sedar cinta itu tidak boleh dipaksa kerana cinta yang telus lahir dari hati yang ikhlas dan rela. Batu kristal Aitomo tetap bersinar terang dalam genggamannya. Perwatakan Rayz yang sopan dan jujur, ditambah dengan paras rupanya yang tampan benar – benar menggugat jiwa sanubari Puteri Zeyn-Da. Karisma Rayz itu sendiri mencairkan naluri kewanitaannya. Betul kata orang, ‘Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati’. Puteri Zeyn-Da kini yakin, dia mahukan Rayz sebagai teman hidupnya.
“Rayz, jikalau ada seseorang yang mencintai Rayz dengan sepenuh hatinya. Adakah Rayz boleh menerimanya?” Puteri Zeyn-Da bertanya lagi.
“Jika saya mencintai orang itu, sudah tentu saya akan menerima cintanya,” jawab Rayz jujur. Pada fikiran Rayz, Puteri Zeyn-Da masih berbicara mengenai Colline. Dia tidak sedar Puteri Zeyn-Da sedang meluahkan isi hatinya.
“Jikalau Rayz hanya mengenalinya buat sekejap saja?”
“Rayz tetap akan menerima dia, biar pun Rayz hanya mengenalinya buat sekejap saja.”
“Jikalau Beta katakan Beta mencintai Rayz?”
Jantung Rayz nyaris – nyaris berhenti ketika mendengar bait kata – kata Puteri Zeyn-Da. Keadaan kokpit pesawat tiba – tiba kelihatan hening, malahan bunyi enjin pesawat Strider itu juga seolah – olah tidak kedengaran. Puteri Zeyn-Da sabar menanti jawapan Rayz. Rayz menelan air liur. Tidak dinafikan Puteri Samarian itu memiliki paras rupa bagaikan bidadari. Kecantikannya melebihi sesiapa sahaja di dunia ini mahupun Colline. Seorang puteri yang sempurna dari pelbagai segi. Namun bagi Rayz, bukan itu yang menjadi ukuran. Cinta bagi Rayz adalah mencintai diri seseorang itu kerana dirinya dan ianya tidak ada kaitan dengan paras rupa, darjat mahupun kekayaan.
Tiba – tiba imej 3D Ka-Zen muncul pada panel kawalan Rayz. “Rayz, ada sesuatu yang sedang bergerak dengan pantas dari belakang. Ianya sedang menuju ke arah kita semua!” kata Ka-Zen, suaranya kelihatan keras. “Sesuatu? Tengku Puteri, bersedia ya? Kita mungkin ada pelawat yang tidak diundang,” kata Rayz. Perbualan mereka tadi juga mati dengan tiba – tiba. Puteri Zeyn-Da mendengus kecil, hampa kerana tidak dapat mendengar jawapan Rayz.
Rayz menekan beberapa butang pada panel kawalan pesawat. Sebuah imej 3D seakan – akan radar, tertera di hadapannya. 3 objek berwarna biru pada radar itu merujuk kepada ketiga – tiga pesawat Strider. Sebiji objek berwarna merah sedang bergerak menuju ke arah mereka bertiga dengan pantas dari arah belakang seperti yang dikatakan Ka-Zen. “Datuk, Makcik Bre-Ya, tambahkan kelajuan dan cuba tinggalkan benda itu!” perintah Rayz. “Baik!” Ka-Zen dan Bre-Ya menjawab serentak. Kelajuan ketiga – tiga pesawat itu melonjak dari 3000 KM sejam ke 8000 KM sejam. Rayz meneliti radar dengan sepenuh tumpuan. Objek misteri itu tetap dapat menyamai kelajuan mereka. Tiba – tiba objek itu hilang dari radar secara tiba – tiba. Rayz terkejut melihat kejadian itu. “Ke mana ianya menghilang?” getus hati Rayz.

“Rayz! Jaga – jaga!” kedengaran suara Bre-Ya berteriak dari panel kawalan pesawat Rayz. Sebaik sahaja Rayz memandang ke hadapan, objek yang mengejar mereka itu kini di hadapan pesawatnya! Ianya amat besar dan menyerupai burung berdasarkan paruh dan sayapnya. Ketinggian makhluk misteri itu mencapai 50 meter. Bentuknya menyerupai binatang lagenda ‘GARUDA’ dan ianya berwarna perang dengan hijau. Makhluk itu sedang meluncur ke arah pesawat Rayz dengan kelajuan yang tinggi!! SQUAAAK!! Makhluk itu membuka paruhnya dan berpuluh – puluh bebola aura berwarna kuning muncul dari paruhnya dengan kelajuan yang tinggi! Rayz dengan cekap mengendalikan pesawatnya dan mengelak serangan makhluk misteri itu. Makhluk itu nyaris merempuh ketiga – tiga pesawat mereka, mujur mereka bertiga sempat mengelak. Makhluk itu berpatah balik dan mengejar Rayz dan yang lain semula.
“Itu anak Queen Grogan!” kedengaran suara Ka-Zen dari panel kawalan Rayz.
“Anak Queen Grogan!? Tapi benda tu besar macam raksasa!” kata Rayz sukar mempercayai kata – kata Ka-Zen. Tempoh hari, VAHSYAH yang menakluki tubuh Rayz juga ada bertempur dengan seekor makhluk gergasi yang sama, dikenali sebagai Arachnoid Grogan. Rayz tidak tahu mengenai perkara itu kerana VAHSYAH yang mengawal tubuhnya. Nampaknya sekali lagi Queen Grogan atau EVA telah memanipulasi DNA hidupan Bumi untuk dijadikan ‘anak – anak’ nya.
Makhluk itu menyerang semula dengan bebola auranya. Kali ini serangannya nyaris mengenai mereka bertiga. Makhluk itu juga kian menghampiri mereka bertiga. Rayz perlu bertindak pantas dalam situasi ini namun itu bukanlah perkara yang senang kerana dia juga baru sahaja belajar mengendali pesawat X-Strider milik Kaum Samarian itu. “Kalau keadaan ini berterusan, kita semua akan mati. Rayz, bawa Puteri Zeyn-Da ke tempat yang selamat! Datuk dan Bre-Ya akan cuba menghalangnya selama yang mungkin!” Ka-Zen memberikan arahan.
“Tidak! Mana boleh Rayz melarikan diri begitu sahaja!” bantah Rayz.
“Rayz, apa yang paling penting sekali adalah keselamatan kamu berdua. Kamu berdua adalah penerus generasi Empayar Xatrian,” Grand Duke Ka-Eil bersuara.
“Apa yang dikatakan oleh Grand Duke itu memang betul, Rayz bawa Puteri Zeyn-Da ke tempat selamat sekarang!” tambah Bre-Ya pula.
Selepas selesai berkata – kata, pesawat Strider Ka-Zen dan Bre-Ya berpatah balik menuju ke arah makhluk tadi. Meriam tenaga padat pun muncul di muncung pesawat Ka-Zen dan Bre-Ya. Dengan hebat mereka melepaskan tembakan ke arah makhluk gergasi tadi. Peluru meriam tenaga itu mengenai makhluk tadi tetapi ianya langsung tidak memberi kesan! Daging makhluk itu seolah – olah imun dengan apa – apa senjata. Melihat perbuatan Ka-Zen dan Bre-Ya, makhluk itu naik berang. Ia cuba merempuh kedua – dua pesawat Ka-Zen dan Bre-Ya. Dengan pantas mereka berdua mengelak.
Sementara itu pesawat milik Rayz semakin jauh meninggalkan tapak pertarungan. Rayz tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Bre-Ya dan Ka-Zen. Rayz teringat semula bagaimana Ka-Zen dan Bre-Ya membantunya melepaskan diri dari ISRC. Dia juga sedar dia harus membalas budi baik mereka berdua. “Maafkan saya Tengku Puteri. Saya tak boleh membiarkan mereka berjuang bersendirian,” kata Rayz kepada Puteri Zeyn-Da. Puteri Zeyn-Da tersenyum, “Lakukanlah apa yang patut Rayz.”
Rayz membalas senyuman Puteri Zeyn-Da dan pesawatnya berpatah balik kembali ke medan pertempuran. Pesawat Bre-Ya sedang dikejar oleh makhluk tadi, manakala pesawat Ka-Zen sedang melepaskan tembakan bertalu – talu ke arah makhluk itu. Namun usaha Ka-Zen itu menjadi sia – sia sahaja. Makhluk itu mengendahkannya dan tetap mengejar pesawat Bre-Ya sambil melepaskan tembakan bebola aura kuning. Bre-Ya kian panik kerana semakin sukar bagi dia untuk melepaskan diri. Makhluk itu menambahkan kelajuannya dan cuba menangkap pesawat Bre-Ya dengan kedua – dua tangannya yang besar! Bre-Ya cuba mengelak sedaya upaya! KRAKK! Pesawat Bre-Ya dicengkam oleh makhluk itu!
“Ayah!!!!” jerit Bre-Ya meminta tolong. Pesawat Bre-Ya menjadi kemek dicengkam makhluk itu.
“Bre-Ya! Tunggu nak, ayah datang sekarang! Lepaskan anak ku binatang jahanam!” Ka-Zen dengan penuh kemarahan melepaskan tembakan ke arah kepala makhluk itu. SQUAKK! Makhluk itu meraung dan melibaskan ekornya ke arah pesawat Ka-Zen! BANG!! Pesawat Ka-Zen terkena serangan makhluk itu dan kini berputar – putar hilang kawalan. Di dalam kokpit, Ka-Zen sedaya upaya cuba menstabilkan pesawatnya, tetapi gagal. Pesawat Ka-Zen terhempas di dalam hutan tebal di pergunungan Russia dan akhirnya meletup!
“Ayah!!!” jeritan Bre-Ya itu menyayat hati.
Makhluk itu mengibas – ngibaskan sayapnya yang besar dan cuba meremukkan pesawat Bre-Ya dengan kedua – dua tangannya. Bre-Ya sedar sekarang, ajalnya telah pun tiba. Namun, Rayz tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku. Pesawat Strider Rayz kini dipandu oleh Puteri Zeyn-Da. Rayz pula sedang berdiri di atas kokpit pesawat sambil memegang Xyver dengan tangan kirinya. Imej – imej pertarungan VAHSYAH seolah – olah bermain di kepalanya. Rayz menekapkan Xyver ke pergelangan tangan kanannya! Serentak itu juga urat – urat misteri muncul dari Xyver dan menyaluti seluruh tubuh Rayz. Beberapa saat kemudian, Rayz telah berubah menjadi Kesatria Suci Kaum Samarian – Zaiva! Rayz dapat merasakan kekuatan yang amat luar biasa dengan baju perisai yang dipakainya itu. Rayz berasa amat takjub dengan apa yang dirasakannya, perasaan ‘selesa’ yang teramat sangat. Namun bukan itu yang penting sekarang.
Tanpa berfikir panjang, Rayz melonjak ke udara lalu menjunam ke arah kepala makhluk tadi! TUB!! Tumbukan padu Rayz itu tepat ke mata kiri makhluk tadi dan memecahkannya! Darah hijau pekat tersembur ke udara lalu ia meraung kesakitan dan melepaskan pesawat Bre-Ya! Bre-Ya segera mengendali pesawatnya. Makhluk itu jatuh terhempas di atas sebuah gunung, mengakibatkan bumi bergegar dan gunung itu runtuh. Dengan pantas Puteri Zeyn-Da mendapatkan Rayz, Rayz dengan cekap mendarat di atas kokpit pesawat semula. Pesawat Bre-Ya telah pun mendarat berhampiran dengan tempat di mana pesawat Ka-Zen terhempas diikuti oleh pesawat Rayz.
Mereka bertiga segera mencari di mana Ka-Zen dan Grand Duke Ka-Eil. Selepas mencari seketika, mereka melihat Ka-Zen dan Grand Duke Ka-Eil sedang duduk di atas sebuah batu. Bre-Ya segera mendapatkan ayahnya. “Ayah tak apa – apa!?” tanya Bre-Ya bimbang dengan keadaan ayahnya. “Ayah tak apa – apa,” jawab Ka-Zen. Ka-Zen mengalihkan pandangannya ke arah Rayz yang sedang memakai baju perisai Zaiva. Ka-Zen kagum dengan kekuatan yang dipertunjukkan oleh Rayz sebentar tadi. Dia bangga dan gembira memiliki seorang cucu yang segagah dia. Rayz mendekati Ka-Zen, matanya menganalisa keadaan tubuh Ka-Zen. “Datuk tak apa – apa. Dia selamat,” jawab Rayz. Hati Bre-Ya berasa lega mendengar kata – kata Rayz. Dia juga bersyukur kerana Rayz kembali untuk menyelamatkannya.
“Sepanjang hidup patik, ini adalah kali pertama patik melihat ‘Zaiva’ dengan mata patik sendiri! Saat seperti ini tidak akan dapat patik lupakan,” puji Grand Duke Ka-Eil. Dia benar – benar kagum dengan Rayz kerana ‘Zaiva’ yang pernah didengarnya hanyalah melalui lagenda dan sejarah Kaum Samarian. Pada masa yang sama Puteri Zeyn-Da juga gembira dengan Rayz.
“Datuk, kamu semua segera menuju ke Bandar Raya Marudu. Tolong bantu Colline. Biar Rayz yang uruskan makhluk ini,” Rayz memberi cadangan.
“Rayz yakin boleh menghadapinya?” tanya Ka-Zen lagi.
“Mungkin sebab inilah Xyver berada di tangan saya. Pergi sekarang, sebelum makhluk itu pulih semula.
“Beta akan tinggal di sini dengan Rayz,” tiba – tiba Puteri Zeyn-Da memberitahu hasratnya.
“Tengku Puteri tak boleh berada di sini, bahaya untuk Tengku Puteri,” jawab Grand Duke Ka-Eil.
“Ada baiknya Tengku Puteri mengikut makcik Bre-Ya. Saya tidak mahu apa – apa berlaku kepada Tengku Puteri,” Rayz memujuk Puteri Zeyn-Da untuk meninggalkan tempat itu.
“Mungkin kita tak akan sempat! Tengok!” Bre-Ya menundingkan jarinya ke puncak gunung.
Makhluk seperti ‘Garuda’ itu bangun semula. Ia meraung dengan nyaring sekali dan berdiri di atas pergunungan. Dengan marah ia cuba mencari kedudukan Rayz dengan yang lain. Paruhnya di buka dan ia mula menembak ke merata – rata tempat! Letupan – letupan besar pun memenuhi hutan belantara di situ. Api merebak ke merata – rata tempat. Ia mendepangkan sayapnya dan meluncur ke udara. Ia berlegar – legar di kawasan pergunungan itu seolah – olah enggan melepaskan Rayz dengan yang lain.
“Bukan mudah untuk Rayz menghadapinya seorang diri. Lihat saja saiznya,” Ka-Zen meluahkan pendapatnya.
“Apa yang boleh kita lakukan sekarang?” tanya Bre-Ya sambil melihat ke arah Rayz.
Rayz mengakui bukan mudah untuk menguruskan binatang ini. Dia teringatkan Colline. Bagaimana dengan Colline sekarang. Dia harus pantas jika tidak, mungkin Colline akan ditimpa bahaya yang lebih besar.
Puteri Zeyn-Da tiba – tiba mendapat ‘penglihatan’ semula. Dia tiba – tiba sahaja berada di sebuah padang yang teramat luas. Padang itu dipenuhi dengan rumput dan bunga – bungaan berwarna putih. Angin bertiup sepoi – sepoi bahasa di tempat itu, dan kelihatan amat selesa. Langit di tempat itu berwarna jingga dan terdapat 7 Bulan bersusun melintang pada langit itu. Puteri Zeyn-Da berasa takjub dengan apa yang disaksikannya. Kemudian dia terlihat 2 buah patung super gergasi yang berdiri di sebelah kanan dan kiri tempat itu. Ketinggian patung itu hampir – hampir mencapai langit. “Dewa VAHSYAH,” kata Puteri Zeyn-Da ketika melihat patung gergasi di sebelah kanannya. “Dan itu pastinya, REFLUCIS,” Puteri Zeyn-Da mengalihkan pandangannya ke arah patung di sebelah kiri. Puteri Zeyn-Da tahu dia berada di mana sekarang;
***********************************************
-Land of Genesis-
Kononnya tempat ini adalah tempat permulaan kepada permusuhan VAHSYAH dan REFLUCIS. Mereka berdua ‘dilahirkan’ di sini.
Suatu lembaga yang bercahaya biru terang muncul di depan matanya. Baju perisainya berbentuk huruf ‘X’ di bahagian dada, lembaga itu adalah VAHSYAH. Puteri Zeyn-Da bersujud sebagai tanda hormat kepada VAHSYAH. Dia berasa amat bersyukur dan terharu dapat bertemu dengan Dewanya di tempat itu.
“Puteri Zeyn-Da Lezaria, Aku gembira dapat bertemu dengan Tengku Puteri,” kata VAHSYAH.
“Hamba juga begitu Dewa,” jawab Puteri Zeyn-Da.
“Puteri Zeyn-Da, Aku tidak dapat berhubung dengan Dunamist secara terus kerana kuasa REFLUCIS. Tanpa bantuan Aku, Dunamist tidak akan dapat mengalahkan REFLUCIS. Aku perlukan bantuan kamu Puteri Zeyn-Da.”
“Sudah tentu Dewa. Apa yang perlu hamba lakukan?”
“Aku perlukan kau untuk menjadi ‘Penghubung Roh’ di antara Aku dan Dunamist. Tetapi untuk menjadi ‘Penghubung Roh’... Tengku Puteri perlu mengorbankan sesuatu. Aku tidak akan memaksa Tengku Puteri jikalau Tengku Puteri tidak mengizinkannya.”
“Hamba faham Dewa. Hamba sanggup berbuat apa sahaja asalkan dapat membantu Rayz.”
“Adakah Tengku Puteri yakin dengan keputusan Tengku Puteri? Selepas membuat keputusan ini, Tengku Puteri tidak boleh berpatah balik,” kata – kata VAHSYAH itu berbaur amaran yang tegas kerana dia mahu Puteri Zeyn-Da benar – benar mempertimbangkannya.
“Hamba tahu dan faham. Hamba yakin dengan keputusan hamba,” jawab Puteri Zeyn-Da yakin dengan keputusannya.
“Baiklah. Aku bangga dengan keberanian Tengku Puteri.”
VAHSYAH berjalan mendekati Puteri Zeyn-Da. Dahi Puteri Zeyn-Da itu disentuhnya. Serentak itu juga, segala rahsia kekuatan Xyver tersimpan di dalam minda Puteri Zeyn-Da. Pandangan Puteri Zeyn-Da berpinar – pinar. Kepalanya terasa lain sekali, dia juga berasa ada ‘sesuatu’ yang telah berkurangan dengan dirinya.
“Puteri Zeyn-Da, ajarlah Dunamist bagaimana menggunakan kekuatan Aku. Itu lah permintaan Aku. Berkat Aku berserta dengan kamu semua,” VAHSYAH mengakhiri kata – katanya dan menghilangkan diri.
****************************************
Puteri Zeyn-Da kembali ke dunia sebenar. Dia terpinga – pinga sekejap, hampir tidak percaya dengan pertemuannya dengan VAHSYAH.
“Tengku Puteri tak apa – apa?” tanya Ka-Zen.
“Ya. Rayz, Beta tahu bagaimana untuk menewaskan makhluk itu,” kata Puteri Zeyn-Da kepada Rayz.
“Apa maksud Tengku Puteri?”
“Dewa VAHSYAH muncul kepada Beta tadi. Dia mengajar Beta bagaimana untuk membantu Rayz,” selesai berkata – kata, Puteri Zeyn-Da mendepangkan tangan Rayz dan memeluk Rayz dari belakang. Rayz terkejut dan cuba mengelak tetapi Puteri Zeyn-Da memintanya jangan bergerak. Puteri Zeyn-Da kemudian menyentuh Xyver di pergelangan tangan Rayz manakala tangan kirinya menyentuh perut Rayz.
“Pejamkan mata Rayz, dan rasakan hembusan nafas Beta di telinga Rayz,” pinta Puteri Zeyn-Da.
Ka-Zen dan Grand Duke Ka-Eil hanya memanadang apa yang dilakukan oleh Puteri Zeyn-Da itu. Lain pula halnya dengan Bre-Ya. Dia berasa cemburu melihat ‘kemesraan’ yang dilakukan oleh Puteri Zeyn-Da itu kepada Rayz.
Rayz dapat merasa ada suatu tenaga sedang bergerak dari Xyver dan menjalar lalu berkumpul di bahagian perutnya. Aura itu laksana tiupan angin yang deras di dalam setiap pembuluh darahnya, sama seperti hembusan nafas Puteri Zeyn-Da di telinganya. Tiba – tiba angin mulai bertiup dengan kencang lalu ianya mengelilingi Rayz dan Puteri Zeyn-Da. Angin yang mengelilingi mereka berdua itu kelihatan berwarna hijau dan mulai meresap ke dalam kristal biru di bahagian dada Rayz. Puteri Zeyn-Da menjauhkan dirinya sedikit dari Rayz.
                                                      ANGIN BERTIUP KENCANG
                                    MEMBAWA SAYAP YANG TERBUKA
                                    KESATRIA MENARI DI UDARA
                                                      MENUMPASKAN MUSUH MELAYANG
Selesai sahaja menghabiskan kata – kata seperti puisi itu, Puteri Zeyn-Da pun menjerit, “Kembangkan sayap mu dan terbanglah!”
Serentak itu juga tubuh Rayz bersinar dengan cahaya hijau yang kuat sekali diikuti tiupan angin yang amat kencang! Rayz pun melonjak ke langit dan kini dia sedang melayang di udara laksana burung! Sebaik sahaja menerobosi awan, tubuh Rayz mulai mengalami transformasi yang hebat. Saiz tubuhnya membesar sama seperti apa yang berlaku kepada VAHSYAH. Baju perisainya yang berwarna perak kini berwarna hijau dengan jaluran emas yang berkilaluan. Sepasang sayap keluli kini muncul di bahagian belakangnya. Rayz benar – benar teruja dengan apa yang berlaku kepada tubuhnya. Tanpa membuang masa, Rayz pun merapatkan kedua – dua belah kakinya, dan meluncur dengan pantas di atas awan. Pemandangan langit di waktu malam itu benar – benar cantik dan indah sekali. Ianya jauh lebih indah dari melihatnya dari luar kapal terbang. Rayz berasa seakan – akan “Superman” kerana sedang meluncur menentang daya graviti Bumi. Rayz mula berasa Xyver yang jatuh ke tangannya itu bukanlah ‘bebanan’ tetapi anugerah daripada Tuhan.

Makhluk itu segera mengejar Rayz yang kini sedang meluncur di atas awan. Ia pun menembakkan berpuluh – puluh bebola aura berwarna kuning ke arah Rayz. Rayz dengan mudah mengelaknya. Maka berlakulah kejar mengejar di antara kedua – dua makhluk gergasi itu. Mereka berdua kelihatan seperti 2 komet yang berwarna hijau sedang berkejar – kejaran di ruang udara Russia.
“Perlukah kita memberi bantuan?” tanya Bre-Ya kepada ayahnya.
“Tidak. Rayz boleh menangani makhluk itu,” jawab Puteri Zeyn-Da dengan wajah yang tenang.
Selepas berkejar – kejaran hampir sepuluh minit. Rayz membuat keputusan untuk menyerang balas. Dia pun memecut ke langit sepantas yang mungkin lalu menjunam ke bawah. Apa yang dilakukan oleh Rayz itu tidak dijangka oleh makhluk itu. Kini giliran Rayz yang mengejarnya dari belakang. Namun musuh Rayz itu juga bukan calang – calang, dengan lincah ia mengelak ke kiri dan ke kanan. Rayz tahu untuk menumpaskan musuhnya, dia perlu memaksanya untuk berhenti.
“Rayz, satukan kedua – dua telapak tangan mu,” tiba – tiba suara Puteri Zeyn-Da berkumandang di minda Rayz. Rayz mengangguk dan melakukan apa yang dikatakan oleh Puteri Zeyn-Da. Sebaik sahaja Rayz menyatukan telapak tangannya, kedua – dua lengannya dari jari ke siku mulai disaluti cas elektrik tebal berwarna kuning keemasan yang menjalar dari kristal biru di bahagian dada baju perisainya! Rayz dapat merasakan kekuatan tenaga yang sedang berkumpul di kedua – dua lengannya.
“Libaskan lenganmu ke hadapan!” suara Puteri Zeyn-Da berbunyi lagi di mindanya. Rayz menarik lengan kirinya ke belakang dan melibaskannya ke arah makhluk di hadapannya. Suatu aura emas berbentuk Bulan sabit gergasi meluru ke arah makhluk itu dengan kepantasan yang tinggi! Makhluk itu terkejut dan segera mengelak namun ekornya menjadi mangsa dan terputus! Aura Bulan sabit itu juga membelah awan yang berada di atas langit sehingga menampakkan Bulan yang sedang bersinar terang pada malam itu.
“Hebatnya!!” getus hati Rayz. Dia benar- benar terkejut dengan kekuatan yang baru sahaja dipertunjukkannya itu. Melihat kekuatan yang dimiliki oleh Rayz, makhluk itu segera membalas serangan Rayz dengan bebola auranya, Rayz mengelak dengan sedaya – upaya dan melibaskan tangan kanannya ke hadapan. Satu aura Bulan sabit muncul dari lengan Rayz dan meluru ke arah makhluk itu. Makhluk itu melonjak ke langit dan segera menerkam Rayz! Rayz pun menangkap kedua – dua tangan makhluk itu dan pergelutan pun berlaku di udara. Makhluk itu cuba mematuk kepala Rayz namun Rayz dapat mengelaknya. Pada saat itu ia menendang perut Rayz mengakibatkan Rayz jatuh menjunam ke bumi.
Makhluk itu tidak memberikan Rayz peluang, ia menembakkan sebiji bebola aura bersaiz gergasi ke arah Rayz. Ka-Zen dan yang lain berada di bawah dan Rayz tahu kalau dia tidak menahan bebola aura gergasi itu, mereka pasti akan terkena letupan bebola aura tadi. Rayz melebarkan sayapnya dan menahan kejatuhannya. Pada saat itu Rayz mengumpulkan aura pedang Bulan sabit di tangan kirinya dan melibaskan tangannya dari atas ke bawah! Aura itu meluru ke arah bebola aura gergasi tadi dan membelahnya menjadi dua bahagian. Aura itu terpisah dan meletup di bahagian kanan dan kiri tempat itu. Melihat usahanya gagal, makhluk itu cuba melarikan diri. Rayz tidak ingin memberinya peluang! Dia merapatkan kedua – dua tapak tangannya, aura kuning keemasan itu tertumpu di kedua – dua lengannya. Rayz pun melibaskan kedua – dua tangannya dengan sekuat hati ke arah makhluk yang sedang cuba melarikan diri itu! Aura Bulan sabit itu membentuk ‘X’ dan merempuh tubuhnya! Tidak lama kemudian, makhluk itu jatuh terhempas ke bumi dan menjadi 4 kepingan daging cincang. Darah berwarna hijau berlumuran membasahi tempat itu.

Rayz meluncur ke tempat di mana makhluk itu terhempas. Sebaik sahaja Rayz tiba, Rayz terkejut melihat suatu fenomena yang ganjil. Mayat makhluk itu mereput dengan kadar yang sangat cepat. Ianya mengeluarkan bau sulfur yang kuat. Tidak lama kemudian, mayat itu bertukar menjadi partikel – partikel kecil yang berwarna hijau dan terbang menghala ke Bulan. Rayz mendongakkan kepalanya ke Bulan. Partikel – partikel itu sedang ditarik ke Bulan yang mengambang seolah – olah ada suatu kuasa yang menariknya. Saat itu juga hati Rayz diserang rasa tidak sedap hati yang teramat sangat. “Apa yang sedang berlaku ini?” tanya Rayz dalam hati. Namun misinya selesai, makhluk gergasi itu telah berjaya ditumpaskannya. Dia pun kembali semula ke tempat Ka-Zen dan yang lain. Bumi di situ bergegar ketika Rayz mendarat berhampiran mereka. Rayz menyilangkan kedua – dua tangannya ke bahagian dada. Tubuh Rayz mulai bercahaya hijau dan kelihatan mengecut. Tidak lama kemudian dia telah kembali ke saiz manusia biasa. Baju perisainya kembali ke warna perak.
Rayz mengambil Xyver di bahagian pergelangan tangan kanannya, baju perisai yang menyaluti tubuhnya pun beransur – ansur hilang. Selepas itu dia pun melangkah ke arah Ka-Zen dan yang lain. Rayz kelihatan tersenyum gembira, bangga kerana berjaya menumpaskan makhluk Grogan gergasi tadi. Namun senyumannya itu hilang ketika melihat Puteri Zeyn-Da sedang terbaring di dalam pangkuan Bre-Ya. Rayz berlari anak mendekati mereka.
“Atuk, makcik, apa yang telah berlaku?” tanya Rayz. Dia bimbang akan keadaan Puteri Zeyn-Da.
“Tengku Puteri Zeyn-Da pitam. Sebaik saja Rayz menewaskan makhluk tadi. Dia berasa pening kepala dan akhirnya pitam,” terang Bre-Ya.
Rayz memerhatikan wajah Puteri yang jelita itu. Dia kelihatan pucat sekali, peluh dingin membasahi dahinya dan nafasnya turun naik dengan kadar yang pantas. Rayz tahu dia dalam kesakitan yang amat sangat. Rayz tidak akan membiarkan Puteri Zeyn-Da merana sebegitu rupa, Dia membaringkan Puteri Zeyn-Da dalam dakapannya dan mendekatkan Xyver ke wajah Puteri Zeyn-Da. Kristal Xyver mulai bersinar, dan sedikit demi sedikit ianya mengurangkan kesakitan yang dirasakan oleh Puteri Zeyn-Da. Tidak lama kemudian, wajah Puteri Zeyn-Da kembali normal, namun dia masih terlelap mungkin kerana berasa penat.
“Makcik, tolong bawa Puteri Zeyn-Da kembali ke rumah kita. Atuk dan Grand Duke Ka-Eil juga kembali ke rumah. Biar Rayz sahaja yang ke Bandar Raya Marudu. Ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, tetapi Rayz akan ceritakan kemudian.”
“Bre-Ya tidak bersetuju! Bagaimana kalau REFLUCIS menunggu Rayz di sana. Rayz perlu bantuan kami,” Bre-Ya enggan membiarkan Rayz pergi seorang diri.
Ka-Zen memegang bahu anak perempuannya. “Bre-Ya, Rayz adalah Dunamist pilihan VAHSYAH. Dia tidak akan apa – apa. Rayz, pergilah. Kami akan menjaga Puteri Zeyn-Da dan Grand Duke Ka-Eil.”
“Terima kasih datuk. Rayz pergi dulu,” Rayz pun melangkah menjauhi mereka sedikit.
“Rayz! Jaga diri baik – baik, kalau tidak Bre-Ya akan pukul kepala Rayz lagi!” jerit Bre-Ya. Risau akan keselamatan ‘anak buah’ nya itu.
Rayz tersenyum dan membuat isyarat ‘OK’ dengan ibu jari kanannya. Xyver dilekapkan lagi ke pergelangan tangan kanan. Sekali lagi Rayz berubah menjadi Zaiva. Dengan menggunakan apa yang diajar oleh Puteri Zeyn-Da, Rayz berubah menjadi gergasi zamrud yang bersayap itu semula. Dia pun melonjak ke langit dan meredah awan, terbang menuju ke Negeri Sabah. Kedengaran bunyi dentuman Supersonic ketika kelajuan Rayz mencapai Mach 3.
“Ka-Zen, perjuangan Tuanku Maharaja baru sahaja bermula. Musuhnya bukan Grogan sahaja, malah Syaitan Lagenda – REFLUCIS. Ianya akan menjadi semakin sukar di masa hadapan,” Grand Duke Ka-Eil meluahkan perasaan bimbangnya.
“Ya, saya tahu Paduka Ka-Eil. Sebab itulah kita semua perlu memberikan sokongan padu kepadanya. Dialah satu – satunya harapan untuk melindungi Planet Xatrian Ke-2. Dan seandainya Rayz ingin melindungi planet ini, maka saya akan memberikan nyawa saya untuk membantu dia,” jawab Ka-Zen.
“Ayah, apa pendapat ayah dengan fenomena yang berlaku sebentar tadi? Maksud Bre-Ya, apa yang berlaku pada tubuh makhluk gergasi itu. Bre-Ya rasa tidak sedap hati,” Bre-Ya menukar topik mengenai fenomena ganjil yang berlaku sebentar tadi.
“Ayah juga tak berapa pasti. Apa pendapat Paduka Ka-Eil?”
“Saya juga tidak pasti. Apa – apa pun, kita kena lebih berhati – hati mulai dari sekarang.”
To Be Continued...

No comments: