Tuesday, May 3, 2011

Chapter 33 - Part 4 of 5

Tempat             : Pesawat Gardingan, jauh di dalam Laut China Selatan
Masa                : 9.01 PM
Tarikh               : 8 Mac 2010
Rayz telah diberikan bilik beristirehat yang teramat besar dan selesa. Bilik itu dihias seperti bilik tidur maharaja pada zaman Mesir kuno. Terdapat sebuah katil yang besar dengan tilam setebal 2 hasta. Bantal dan cadar yang menutupinya adalah kain yang berwarna biru muda dan seakan – akan satin cuma ianya tampak lebih halus dari satin. Katil itu pula diperbuat dari logam seakan – akan emas dan bertatahkan berlian berwarna merah. Lantai di dalam bilik itu lutsinar, di mana Rayz dapat melihat beratus – ratus hidupan lautan yang sedang berenang – renang. Dinding bilik Rayz itu berwarna kelabu dan diperbuat dari logam. Terdapat lampu perhiasan yang sangat cantik dan indah pada siling bilik tersebut. Rayz sedang berdiri di hadapan dinding yang lutsinar. Dia sedang memerhatikan ikan paus yang sedang berenang di hadapannya.
“Kau betul – betul bertuah. Kau bebas untuk memilih hala tujuan hidup yang kau mahukan. Berbanding dengan saya...” Rayz seolah – olah sedang berbual – bual dengan ikan paus tersebut. Ka-Zen yang berada di dalam bilik itu juga dapat merasakan apa yang sedang bermain – main di dalam fikiran cucunya itu. Tiba – tiba pintu bilik Rayz diketuk beberapa kali. Ka-Zen berjalan mendekati pintu bilik Rayz dan membukanya. Seorang gadis berpakaian seperti inang diraja memberi sembah hormat kepada Ka-Zen. Gadis itu berkata sesuatu kepada Ka-Zen dan meninggalkan bilik tersebut. Ka-Zen berjalan mendekati Rayz.
“Rayz, Putera Mahkota Dou-Gan dan Tengku Puteri Zeyn-Da ingin bertemu dengan Rayz di dalam bilik singgahsana,” kata Ka-Zen.
“Baiklah. Kita pergi sekarang,” jawab Rayz.
Rayz baru sahaja membuka langkah namun Ka-Zen menahannya. Wajahnya sedang tersenyum. Rayz berasa hairan melihat reaksi datuknya itu.
“Umm, kenapa atuk tersenyum?” tanya Rayz.
“Atuk rasa ada baiknya Rayz menukar pakaian dulu,” jawab Ka-Zen. Pada saat itu barulah Rayz sedar bahawa dia tidak memakai apa – apa pun di dalam mantel yang diberikan oleh Ka-Zen sewaktu mereka masih berada di Metropolis Kinabalu. Rayz tergelak kecil, “Betul cakap atuk itu, tapi Rayz tidak ada pakaian lain.”
“Rayz tak perlu bimbang,” kata Ka-Zen. Dia pun berjalan mendekati sebuah almari yang sangat besar dan lebar. Dia menekan beberapa butang yang ada pada almari tersebut, pintunya terbuka dan menampakkan apa yang ada di dalam. Rayz terbeliak melihat apa yang ada di dalam almari itu. Terdapat banyak pakaian kaum Samarian yang berwarna – warni. Berdasarkan corak dan rekaannya, Rayz meneka pakaian itu adalah pakaian khas kerabat di raja. Ka-Zen meminta Rayz memilih pakaian yang disukainya. Rayz membelek – belek setiap pakaian yang terdapat di dalam almari tadi. Rayz kelihatan amat kagum ketika menyentuh dan mengamati setiap pakaian – pakaian itu. Ianya teramat halus, ringan dan kelihatan sangat selesa. Selepas membelek – belek seketika, mata Rayz terhenti ketika melihat sepasang pakaian yang berwarna hitam. Rayz segera mengambil pakaian itu dan memakainya.

Baju yang dipakai oleh Rayz itu adalah sehelai sut ketat dengan lambang Xyver di bahagian dada. Sut itu dihiasi dengan logam berwarna kelabu dan kelihatan seperti baju perisai ringan. Yang ajaibnya, Rayz langsung tidak berasa berat sekalipun dia memakai sut berkenaan. Rayz berjalan mendekati cermin yang berada tidak berapa jauh daripadanya. Dia mengamati dirinya dari semua segi. “Macho juga pula saya kalau berpakaian begini,” getus hatinya. Ka-Zen berasa pakaian itu memang sesuai dengan Rayz. Dia pun mengambil sehelai mantel berwarna emas dengan hiasan bahu dan memakaikannya kepada Rayz. Rayz mengucapkan terima – kasih. Mereka berdua pun berjalan keluar meninggalkan bilik peraduan. Sepanjang perjalanan, Rayz melihat askar – askar Samarian yang berpakaian serba hitam berbaris dan memberikan sembah sujud kepadanya. Rayz meminta mereka jangan berbuat sedemikian namun sia – sia sahaja.
“Rayz tak perlu halang mereka,” kata Ka-Zen sambil tersenyum.
“Tapi, Rayz tak mahu mereka menyembah Rayz sedemikian rupa. Rayz bukanlah maharaja yang patut disembah,” kata Rayz.
“Mungkin bagi Rayz, tetapi tidak bagi mereka. Mari, kita dah pun sampai,” ujar Ka-Zen.
Rayz dan datuknya masuk ke dalam sebuah dewan yang teramat besar. Ruang dan bentuk dewan itu adalah sama dengan ruang Kuil Xyver di dalam Piramid Samarian purba di Gurun Gobi. Dewan itu penuh dengan Prajurit – Prajurit Samarian yang berbaris dan berkumpul di hadapan singgahsana di bahagian hadapan dewan tersebut. Patung Maharaja Xatria, iaitu Maharaja Pertama Planet Xatrian tersergam indah di belakang singgahsana. Rayz dapat melihat 3 orang di bahagian hadapan singgahsana. Grand Duke Ka-Eil berdiri di sebelah kanan, seorang lelaki berambut panjang berdiri di tengah – tengah dan seorang gadis  yang memakai tudung berdiri di sebelah kiri. Prajurit – Prajurit Samarian yang berada di situ sedang bercakap – cakap mengenai Rayz. Ada yang memujinya dan ada pula yang mencemuhnya. Namun Rayz membiarkannya sahaja. Sebaik sahaja Rayz berada di hadapan ketiga – tiga orang tadi, mereka bertiga segera memberi sembah sujud kepada Rayz diikuti dengan kesemua Prajurit Samarian yang berada di dewan itu. Rayz meminta mereka semua berdiri.
“Patik bernama Putera Mahkota Dou-Gan Lezaria, Putera Sulung kepada Regent Dara-Gon Lezaria,” kata lelaki berambut panjang. Rambutnya disikat kemas ke belakang, satu jambul yang panjang kelihatan terjulur di tengah – tengah rambutnya.
“Saya Rayz Silman. Gembira dapat bertemu dengan Putera Mahkota,” jawab Rayz. Rayz pun memberikan sembah sujud kepada Putera Dou-Gan seperti yang dilakukan oleh orang – orang lain sebentar tadi. Alangkah terkejutnya semua hadirin yang ada di situ melihat tindakan Rayz itu! Belum pernah ada Bakal Maharaja yang memberikan sembah sujud kepada orang lain melainkan dia yang patut disembah. Tindakan Rayz itu membuatkan para hadirin yang ada di situ berbisik – bisik di antara satu sama lain.
“Kenapa Tuanku memberi sembah sujud kepada patik?” tanya Putera Dou-Gan dengan perasaan yang takjub.
“Kenapa tidak? Putera Mahkota lah yang layak disembah kerana Putera Mahkota adalah anak kepada Pemerintah Empayar Xatrian,” jawab Rayz dengan ringkas. Grand Duke Ka-Eil kagum dengan sikap merendah diri Rayz itu, belum pernah ada Bakal Maharaja sepertinya. Namun lain pula yang sedang bermain di dalam minda Putera Dou-Gan kini.
Gadis comel yang berada di sebelah kiri Putera Dou-Gan itu pun tampil di hadapan Rayz dan menundukkan kepalanya dan memegang tangan kanan Rayz. Rayz terpinga – pinga melihat tindakan gadis itu. Kemudian gadis itu mengucup tapak tangan Rayz. Rayz memandang ke arah Ka-Zen. “Ianya tradisi Tuanku,” jawab Ka-Zen pendek.
Gadis itu membuka tudung yang menutup kepalanya. Rayz terpegun melihat kejelitaan gadis itu. Rambut gadis itu berwarna hitam pekat dan dipotong pendek paras telinga. Bulu matanya melentik, warna matanya hijau jed sama seperti yang dimiliki oleh Putera Dou-Gan. Bibirnya dihias dengan gincu berwarna peach dan kelihatan sangat mungil. Tanpa Rayz sedari, jantungnya mulai berdegup dengan pantas tatkala melihat kejelitaan gadis yang berdiri kurang dari sekaki darinya itu. Rayz segera berdehem dan berundur satu langkah. Terasa ada haba yang panas datang dari bahagian dadanya.
“Patik bernama Tengku Puteri Zeyn-Da Lezaria. Patik anak bongsu Regent Dara-Gon Lezaria. Patik benar – benar gembira dapat bertemu dengan Tuanku hari ini,” kata Puteri Zeyn-Da sambil tersenyum manis. Rayz tidak menjawab kata – kata Puteri Zeyn-Da, dia sekadar mengangguk.
Tidak lama kemudian, Bre-Ya masuk ke dalam dewan. Penampilannya tampak berbeza pada hari itu. Dia memakai gaun berwarna hitam yang menyapu lantai. Potongan gaun itu sangat seksi dan mendedahkan sedikit bahagian dadanya. Mata – mata Prajurit yang berada di situ semua tertumpu kepada Bre-Ya. Mereka semua memuji – muji kecantikan Bre-Ya pada malam itu. Rayz juga terpana melihat penampilan makciknya, hampir – hampir saja matanya tidak berkelip. Bre-Ya berdiri di sebelah Putera Dou-Gan. Air mukanya kelihatan muram. Pada saat itu Rayz dapat meneka sesuatu.
“Patik rasa Tuanku sudah bertemu dengan bakal isteri patik, Lady Bre-Ya,” kata Putera Dou-Gan. Pinggang Bre-Ya dirangkul dan dia mengucup pipi Bre-Ya dengan mesra sekali. Reaksi muka Bre-Ya tetap begitu. Betul seperti tekaan Rayz. “Baiklah Bakal Maharaja telah pun ada di sini, mari kita mulakan majlis keraian!” perintah Grand Duke Ka-Eil. Rupa – rupanya perkumpulan pada malam itu adalah untuk memberi jamuan kepada Rayz iaitu Bakal Maharaja yang baru. Beberapa buah meja pun muncul dari dalam lantai, di atas meja – meja itu terdapat berpuluh – puluh mangkuk dan pinggan yang berisi ‘makanan’ yang tidak pernah dilihat oleh Rayz. Meja untuk Rayz dan tetamu kehormat adalah sebuah meja panjang yang berada di hadapan singgahsana di raja. Rayz menelan air liurnya ketika melihat Grand Duke Ka-Eil memasukkan seekor ‘ulat’ sebesar lengan kanak – kanak berwarna biru ke dalam mulutnya. Terasa loya tekak Rayz melihat juadah pelik yang dimakan oleh saudara – saudara Samariannya itu. Ka-Zen yang duduk di sebelah Rayz itu ketawa melihat reaksi Rayz, dia menyorongkan sebiji mangkuk yang berisi ‘biskut’ berwarna hitam kepada Rayz. Rayz mengambil sebiji ‘biskut’ yang pelik itu dan memakannya. “Emm, agak sedap. Apa benda ni atuk?” tanya Rayz. “Itu najis Makhluk Gilor dari Planet Batil,” jawab Puteri Zeyn-Da sambil menopangkan dagu.
“URRP!” Rayz menyemburkan keluar makanan itu dari mulutnya. Kesemua hadirin yang ada di situ ketawa melihat gelagat Bakal Maharaja dari Bumi itu. Bre-Ya yang tadinya muram kelihatan ketawa dengan riang sekali melihat gelagat anak buahnya. Begitu juga Puter Zeyn-Da dan Grand Duke Ka-Eil. Ka-Zen menepuk – nepuk belakang Rayz dan menghulurkan sebiji gelas berisi air kepadanya. “Air ini apa pula?” tanya Rayz dengan wajah yang kelat. “Jangan bimbang, ini air biasa dari Bumi,” jawab Ka-Zen sambil tersenyum. Namun ada seorang yang tidak kelihatan gembira di dalam majlis. Putera Dou-Gan kelihatan merenung Rayz dengan tajam sekali. Bre-Ya yang ketawa itu segera berhenti, melihat air muka Putera Dou-Gan. Tamat sahaja jamuan, Grand Duke Ka-Eil membawa Rayz pergi melihat persembahan pada malam itu. Rayz dengan yang lain kini berada di dalam sebuah bangunan yang mirip – mirip Colosseum di Rome. Rayz dapat melihat 2 orang Prajurit sedang bertempur di tengah – tengah coloseum itu. Kedua – dua Prajurit itu memakai baju zirah mirip yang dipakai oleh Ra-Iz. Mereka berlawan dengan tangan kosong. Seni mempertahankan diri yang dipersembahkan oleh mereka itu mirip dengan semua seni mempertahankan diri yang ada di Bumi. Ada kemungkinan seni mempertahankan diri yang diamalkan di Bumi ini berasal dari Kaum Samarian teka Rayz dalam hatinya.
Grand Duke Ka-Eil pun mempersilakan mereka semua duduk di sebuah pentas khas bagi kerabat diraja. “Atuk juga pernah belajar seni mempertahankan diri ini?” tanya Rayz kepada Ka-Zen. Ka-Zen ketawa kecil mendengar kata – kata Rayz,” Sudah tentu Tuanku. Jika Tuanku berminat, patik boleh ajarkan Tuanku seni mempertahankan diri ini kepada Tuanku.”
“Tuanku Maharaja Rayz, patik ingin bertanya sesuatu jika patik diperkenankan,” Putera Dou-Gan yang duduk bersebelahan dengan Rayz itu memulakan bicara.
“Sudah tentu, apa yang ingin Putera Mahkota tanyakan?” jawab Rayz.
“Biar patik berterus – terang sahaja. Adakah Tuanku Maharaja yakin dapat memimpin rakyat – rakyat Empayar Xatrian?” kata Putera Dou-Gan dengan wajah yang serius. Matanya yang berwarna jed kristal menikam sanubari Rayz.
“Saya tidak tahu. Terus – terang saya katakan saya tidak tahu apa – apa pun mengenai Empayar Xatrian mahupun sejarah atau budayanya. Buat masa sekarang, saya sendiri tidak pasti apa yang harus saya lakukan,” jawab Rayz dengan jujur.
Putera Dou-Gan mengalihkan pandangannya dari Rayz. Dia tersenyum sinis. “Pada pendapat patik Tuanku Maharaja tidak layak menjadi pemimpin Empayar Xatrian.”
Rayz terkejut mendengar kata – kata Putera Dou-Gan. Bukan Rayz sahaja, Ka-Zen, Bre-Ya, Puteri Zeyn-Da dan Grand Duke Ka-Eil juga terkejut mendengar apa yang baru sahaja dikatakan oleh Putera Dou-Gan. Puteri Zeyn-Da memegang lengan Putera Dou-Gan, “Kekanda tidak boleh berkata sedemikian rupa kepada Tuanku Maharaja Rayz!”. Putera Dou-Gan meminta Puteri Zeyn-Da menutup mulutnya dan jangan masuk campur urusan kaum lelaki.
“Tuanku Maharaja Rayz, pada saat ini Empayar Xatrian berada di dalam perang saudara yang dahsyat. Jika peperangan itu tidak dihentikan, Empayar Xatrian akan hancur. Sejak Ayahanda Dara-Gon jatuh gering, para menteri yang busuk hati itu cuba untuk menakluki Empayar yang telah Ayahanda terajui dan jagai selama 100 tahun. Patik tidak akan biarkan mereka berbuat sesuka hati mereka! Jadi, Empayar Xatrian memerlukan seorang pemerintah yang baru dan berkebolehan untuk memimpin,” kata Putera Dou-Gan dengan tegas.
Rayz faham dengan apa yang dikatakan oleh Putera Dou-Gan. Rayz sebenarnya tidak ada niat untuk menjadi ‘Maharaja’. Malahan Rayz sebenarnya ingin hidup dengan biasa sahaja. Kalau boleh dia tidak ingin ada kaitan lagi dengan urusan Kaum Samarian, Grogan atau ISRC. Dia ingin memulakan hidup yang baru. “Apa yang Putera Mahkota katakan itu memang benar. Empayar Xatrian kini memerlukan seorang pemerintah yang arif dan bijaksana. Saya bukanlah pemerintah itu, jadi Putera Mahkota tidak perlu risau. Saya tidak akan merebut hak takhta itu daripada Putera Mahkota”.
Sekali lagi hadirin yang berada di situ terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Rayz. Mereka berasa sangat hairan mengapa Dunamist pilihan VAHSYAH menolak haknya sebagai Maharaja Empayar Xatrian. Putera Dou-Gan berasa sangat terhina mendengar apa yang dikatakan oleh Rayz. Hak menjadi Maharaja Empayar Xatrian merupakan impiannya selama ini dan Rayz pula dengan sewenang – wenangnya menolak hak itu. Puteri Zeyn-Da memerhatikan wajah Rayz dengan air muka yang sangat takjub. Jejaka ini lain daripada yang pernah ditemuinya di Empayar Xatrian, harta ataupun pangkat langsung bukan menjadi idamannya. Dalam diam Putera Zeyn-Da mulai menaruh minat untuk mengenali Rayz dengan lebih dekat.
“Tuanku Maharaja, adalah hak mutlak Tuanku untuk menjadi Maharaja Empayar Xatria. Ianya telah ditentukan sejak zaman pemerintahan Maharaja Pertama iaitu Maharaja Xatria. Mereka yang dipilih oleh Dewa VAHSYAH akan menjadi Maharaja Empayar Xatrian secara automatik, ini adalah tradisi Tuanku,” Ka-Zen menerangkan kepada Rayz.
“Saya tahu itu atuk. Tapi Rayz sudah membuat keputusan, Rayz memang tidak berminat untuk menjadi Maharaja. Rayz rasa Putera Mahkota lebih layak menjadi Maharaja dari Rayz,” jawab Rayz.
Putera Dou-Gan segera berdiri mendekati koridor Colosseum. Dia mengalihkan pandangannya kepada Rayz yang sedang duduk. Wajahnya bertukar menjadi bengis. “Berani kau mempermainkan Beta! Adakah kau ingat dengan pangkat kau sebagai Dunamist, kau boleh mencemuh nama baik Kerabat Di Raja Lezaria! Paduka Ka-Eil, Beta mengisytiharkan Oziow!” jerkah Putera Dou-Gan. Api kemarahannya meluap – luap terhadap Rayz yang memandang ringan kedudukan sebagai Maharaja Empayar Xatria.
“Oziow?” getus hati Rayz. Rayz kini berasa serba salah dengan apa yang berlaku. Dia tidak berniat menghina Putera Dou-Gan. Dia cuma mengatakan yang benar sahaja, dia memang tidak berniat untuk menjadi Maharaja. Rayz mengalihkan pandangannya kepada Ka-Zen, “Atuk, apa benda Oziow tu?” tanya Rayz.
“Oziow adalah Cabaran Di Raja. Ianya hanya boleh diisytiharkan oleh mana – mana Kerabat Di Raja Xatria pada waktu berlaku kesukaran di dalam memilih Bakal Maharaja yang seterusnya. Seandainya pihak yang dicabar tidak menyahut Oziow, maka seisi kaum keluarga dan saudara – maranya akan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Segala harta dan pangkat juga akan dirampas. Situasi sekarang tidak baik bagi kita Tuanku,” terang Ka-Zen.
Dahi Rayz berkerut mendengar apa yang dikatakan oleh Ka-Zen. Tidak disangka olehnya, keenganannya untuk menjadi Maharaja akan memudaratkan Ka-Zen dan juga makciknya Lady Bre-Ya. Rayz tidak mahu mereka berdua yang menjadi mangsa di atas keputusannya. Rayz segera berdiri dan berhadapan dengan Putera Dou-Gan. “Putera Mahkota, Oziow tidak perlu diadakan kerana saya sendiri yang memilih untuk tidak menjadi Maharaja. Datuk dan Makcik saya tidak bersalah di dalam hal ini. Jika ada yang mesti dihukum, maka hukumlah saya tetapi lepaskan mereka berdua,” pujuk Rayz.
Ka-Zen berdiri di sebelah Rayz dan memberikan sembah sujud kepada Putera Dou-Gan. “Tuanku Maharaja tidak perlu mempertahankan patik dan Bre-Ya. Seandainya Tuanku dipenjarakan, patik sudi dipenjarakan. Biarlah patik yang menanggung hukuman bagi pihak Tuanku,” kata Ka-Zen pula.
Giliran Bre-Ya pula yang berjalan dan berdiri di sebelah Rayz. “Putera Mahkota, jikalau ayah patik dihukum penjara, patik juga memohon dipenjarakan bersama – sama dengan ayah patik.” Rayz berasa terharu melihat kedua – dua saudaranya itu sudi berkorban demi dirinya. Melihat kelakuan Ka-Zen dan Bre-Ya itu, api amarah Putera Dou-Gan bertambah meluap – luap. Rasa bencinya kepada Rayz semakin bertambah.
“Jangan kamu ingat Beta akan lepaskan kamu semua selepas mendengar keputusan bodoh kamu ini! Bre-Ya, kamu adalah tunang Beta, kamu bakal menjadi Permaisuri Empayar Xatrian yang seterusnya. Jangan sia – siakan hidup kamu untuk mempertahankan Maharaja yang tidak layak ini. Kembali kepada Beta sekarang dan Beta akan mengampunkan kesalahan kamu.”
“Tidak Putera Mahkota. Apalah ertinya kehidupan patik seandainya ayah patik tidak ada di sisi patik nanti. Jikalau Putera Mahkota ingin menghukum ayah patik, patik ingin dihukum bersama – samanya,” jawab Bre-Ya. Nampaknya dia nekad untuk dipenjarakan bersama – sama Rayz dan Ka-Zen.
Puteri Zeyn-Da mendekati abangnya. “Kekanda, Adinda rasa Kekanda sudah bertindak keterlaluan. Lupakah Kekanda akan perintah Ayahnda Dara-Gon? Ayahnda menitahkan Kekanda untuk membawa balik Dunamist pilihan Dewa VAHSYAH untuk ditabalkan menjadi Maharaja yang baru! Apa yang Kekanda lakukan ini akan mengaibkan nama baik Kerabat Di Raja Lezaria!” Puteri Zeyn-Da memujuk Putera Dou-Gan menarik semula Oziow yang diisytiharkannya tadi.
“Putera Mahkota, apa yang dikatakan oleh Tengku Puteri itu memang betul. Jangan abaikan titah Baginda Dara-Gon,” Grand Duke Ka-Eil memperingatkan semula tujuan kedatangan mereka ke Planet Bumi. Putera Dou-Gan bertambah berang dengan adiknya dan Grand Duke Ka-Eil. “Dengar sini Paduka Ka-Eil, Beta adalah Putera Di Raja Lezaria. Beta juga adalah Bakal Maharaja yang sebenar untuk Empayar Xatria, jikalau Paduka Ka-Eil tidak ingin merengkok dalam penjara bersama – sama mereka ini, lebih baik Paduka Ka-Eil menguruskan Oziow sekarang juga!” kata Putera Dou-Gan dengan suara yang meninggi.
Grand Duke Ka-Eil terpaksa akur dengan karenah Putera Dou-Gan itu. Dia pun memerintahkan para Prajurit Samarian yang ada di situ untuk mengepung dan bersedia menangkap Rayz, Ka-Zen dan juga Bre-Ya. Rayz bertambah keliru sekarang. Dia sesungguhnya tidak ingin bertarung dengan Putera Dou-Gan tetapi dia juga tidak mahu Ka-Zen dan Bre-Ya menanggung padah kerana cuba melindunginya. Dia cukup terhutang budi kepada mereka berdua kerana membantunya melepaskan diri daripada cengkaman ISRC. Rayz membuat keputusan untuk menyahut Oziow yang dikemukakan oleh Putera Dou-Gan bukan untuk dirinya tetapi untuk datuk dan makciknya.
“Baiklah, saya menerima Oziow. Apa yang harus saya lakukan,” kata Rayz.
Ka-Zen dan Bre-Ya terkejut mendengar keputusan Rayz itu. “Rayz tak perlu berbuat sedemikian jika Rayz tidak mahu, ayah dan Bre-Ya sanggup menerima hukuman agar Rayz tidak perlu melalui Oziow!” kata Bre-Ya.
“Tidak Makcik. Rayz tidak akan membiarkan atuk dan Makcik dihukum kerana Rayz. Ini berkaitan dengan Rayz dan bukannya berkaitan dengan atuk dan Makcik Biarlah Rayz yang menghadapinya,” kata Rayz dengan tegas.
“Bagus! Kalau begitu, silakan Tuanku turun ke tengah – tengah gelanggang sekarang,” kata Putera Dou-Gan seolah – olah memberi arahan kepada Rayz. Rayz menganggukkan kepala dan menuruni tangga dan berjalan menuju ke tengah – tengah gelanggang Colosseum itu. Melihat kedatangan Rayz, Prajurit – Prajurit yang sedang melakukan persembahan segera beredar. Seluruh Colosseum tiba – tiba menjadi senyap. Putera Dou-Gan kini berdiri di hadapan Rayz. Pandangan matanya tajam dan dia kelihatan sedang tersenyum sinis ke arah Rayz. “Akan Beta buktikan, Beta lah yang layak menjadi Maharaja Planet Xatrian!” kata Putera Dou-Gan dalam hatinya.
*Putera Mahkota Dou-Gan Lezaria adalah Antagonis terbaru dalam E-Novel ini :)

2 comments:

Anonymous said...

next...nak lagi...
bl nak sampai kemuncak...
cepat la sambung..

kraizer81 said...

Ho ho ho... Jangan bimbang. Kemuncaknya akan muncul dalam bebrapa bab lagi. Lagipun, Rayz kena setel masalah dengan Colline dan bekas teman wanitanya. Macam Okie Locket katakan, cerita ini ada 54 Chapter kesemuanya. Tetapi xyver boleh jamin, ianya tidak akan menghampakan :) Keep on reading.