Sunday, April 24, 2011

Chapter 33 - Part 2 of 5

Tempat             : Pulau Mantanani
Masa                : 11.30 PM
Tarikh               : 6 Mac 2010
Rayz bersama – sama Ka-Zen dan Bre-Ya melarikan diri di pulau yang agak terpencil ini. Rayz sedang duduk bersila di atas pantai sementara Ka-Zen sedang memasang sebuah alat yang dipanggil “Signal Disruptor” yang boleh menghalang satelit pengesan ISRC dari mengesan kedudukan mereka. Bre-Ya sedang mengumpulkan kayu – kayu api dan meletakkannya di hadapan Rayz. Bre-Ya menghalakan jari telunjuknya ke arah kayu api tersebut dan serta – merta ia terbakar dengan sendirinya. Bre-Ya memandang ke arah Rayz yang sedang duduk bersila dan menutup mata. Nampaknya Rayz sedang memulihkan tenaganya dengan tunjuk ajar dari Ka-Zen. Bre-Ya tersenyum sendirian melihat wajah kacak Bakal Maharaja itu. Ka-Zen pun datang ke unggun api yang baru sahaja dinyalakan oleh Bre-Ya. Dengan pantas Bre-Ya mengalihkan pandangannya dari Rayz.
“Bagaimana dengan keadaan Tuanku sekarang?” tanya Ka-Zen.
Rayz membuka mata. “Sudah beransur pulih. Tak sangka Teknik Kitaran Kuasa yang datuk ajarkan itu benar – benar menyegarkan tubuh Rayz.”
“Baguslah. Patik juga tak sangka Tuanku dapat mempelajari teknik itu dalam masa yang sekejap sahaja. Anak patik Bre-Ya juga mengambil masa yang panjang untuk menguasainya,” puji Ka-Zen. Rayz ketawa kecil sambil menggaru – garu kepalanya yang tidak gatal. Buat seketika, Rayz dapat melupakan apa yang telah berlaku kepada dirinya sejak kebelakangan ini.
“Datuk, tak usah panggil Rayz ‘Tuanku’. Panggil Rayz sahaja, lagipun datuk adalah datuk Rayz,” Rayz sebenarnya tidak berapa menyukai gelaran ‘Tuanku’ yang digunakan oleh Ka-Zen itu.
“Tak boleh Tuanku, ini adalah adat kita sebagai Kaum Samarian. Tuanku adalah “Dunamist” pilihan Dewa VAHSYAH. Sudah selayaknya kami memuliakan Tuanku,” jawab Ka-Zen.
Rayz mengeluh kecil mendengar kata - kata Ka-Zen itu. “Rayz memerintahkan kamu berdua mulai saat ini untuk memanggil Rayz dengan nama Rayz sahaja, boleh kan?”
Ka-Zen dan Bre-Ya berpandangan. Mereka berdua berasa pelik dengan permintaan Rayz itu. Mungkin itu adalah perbezaan di antara Maharaja yang berasal dari Planet Bumi dengan Maharaja berketurunan Samarian asli. Sikap Rayz yang amat merendahkan diri itu benar – benar membuatkan Ka-Zen berasa sangat sejuk hati. Manakala Bre-Ya pula mulai berasa ‘tertarik’ dengan anak buahnya yang baru sahaja dikenalinya itu. Memandangkan itu adalah permintaan Rayz, dan dia juga adalah ‘Unperra Morte’ yang bermaksud Bakal Maharaja, arahan Rayz itu haruslah dituruti.
“Kalau itu adalah permintaan Tuanku, baiklah kami berdua akan memanggil Tuanku ‘Rayz’ mulai dari saat ini,” kata Ka-Zen. Rayz tersenyum dan memegang bahu datuknya. Pandangannya dialihkan kepada Bre-Ya. “Makcik Bre-Ya ok? Dari tadi Makcik Bre-Ya asyik merenung wajah Rayz aja?” tegur Rayz dengan tujuan untuk bersenda gurau. Pipi Bre-Ya yang putih itu menjadi merah mendengar kata – kata Rayz.
“Tak, Tak adalah! Mana ada Bre-Ya merenung wajah Rayz!” jawab Bre-Ya dan berjalan meninggalkan mereka berdua. Rayz tergelak kecil melihat perangai manja makciknya itu. Ka-Zen sekadar menggeleng – gelangkan kepala melihat gelagat cucu dan anak perempuannya itu. Rayz bingkas bangun dan berjalan mendekati gigi laut. Angin pada malam itu kelihatan nyaman sekali. Rayz menarik nafas panjang. Hatinya runsing kembali. Terlalu banyak yang telah berlaku sehingga sukar bagi dia untuk menerimanya satu persatu. Xyver diletakkan di atas tapak tangan. Kristal biru itu direnung dengan penuh perhatian. “Everything started with this...” getus hati Rayz. Ka-Zen mendekati cucunya dan berdiri di sebelah kanan. Mereka berdua merenung lautan yang agak bergelora pada malam itu.
“Apa yang sedang Rayz fikirkan?” tanya Ka-Zen.
“Rayz keliru sekarang ni datuk...” jawab Rayz. Ada kesayuan dalam suaranya itu.
“Keliru tentang apa? Boleh Rayz ceritakan kepada atuk?” tanya Ka-Zen lagi, bersimpati dengan diri Rayz.
“Rayz keliru dengan siapa diri Rayz. Selepas apa yang telah berlaku, Rayz kini tidak pasti siapa sebenarnya diri Rayz ini. Semuanya terlalu pantas bagi Rayz untuk menerimanya. Setahun yang lalu, Rayz hanyalah seorang pekerja Farmasi Perubatan di Bandar Raya Kudat. Selepas bertemu dengan Colline dan Xyver, kini Rayz mendapat tahu yang Rayz adalah anak kepada Ra-Iz, Prajurit Samarian seperti datuk dan Makcik Bre-Ya. Malahan, Rayz juga adalah “Dunamist” pilihan VAHSYAH. Rayz sepatutnya telah ‘mati’ tetapi takdir menentukan Rayz harus hidup dan meneruskan kehidupan Rayz sebagai Kaum Samarian. Colline pula ditangkap ISRC kerana cuba menyelamatkan Rayz... Entahlah, kesemua ini terlalu berat bagi Rayz untuk memikirkannya,” Rayz mengeluh dengan nasib yang menimpa dirinya itu.
Ka-Zen memegang bahu Rayz. Sekalipun dia tidak faham apa yang telah berlaku kepada Rayz, namun dia turut bersimpati dengan apa yang dirasakan oleh cucunya itu. “Rayz, atuk tak tahu apa yang boleh atuk katakan untuk mengurangkan apa yang Rayz rasakan. Namun atuk percaya, Rayz pasti akan dapat menghadapi takdir Rayz ini. Atuk dan Bre-Ya akan berada di sisi Rayz, kami sedia mengorbankan diri kami untuk membantu Rayz.”
Rayz terharu mendengar kata – kata Ka-Zen. Dia menepuk tangan Ka-Zen di atas bahunya. “Terima – kasih datuk. Rayz akan cuba untuk menerima takdir Rayz ini.”
Bre-Ya kelihatan berlari anak mendekati Rayz dan Ka-Zen. Wajahnya kelihatan gelisah. “Kenapa Bre-Ya?” tanya Ka-Zen. Bre-Ya tidak menjawab pertanyaan ayahnya itu. Dia mengeluarkan sebiji sfera dari saku di tali pinggangnya. Sfera itu sebesar tapak tangan orang dewasa dan kelihatan seperti sebuah alat elektronik berteknologi tinggi. “Grand Duke Ka-Eil,” kata Bre-Ya pendek dan menyerahkan sfera itu kepada Ka-Zen. Rayz tidak faham apa yang sedang berlaku. “Makcik Bre-Ya, apa benda tu?” tanya Rayz kepada Bre-Ya. “Oh itu, alat telekomunikasi kita sebagai Kaum Samarian,”jawab Bre-Ya pendek.
Ka-Zen meletakkan sfera itu di atas pantai lalu menekan butang berwarna biru di atas sfera itu. Imej 3D berbentuk manusia pun terpancar dari sfera tadi. Imej itu adalah seorang lelaki berpakaian putih dengan jahitan hiasan benang – benang emas. Dari pemakaiannya, jelas bahawa beliau adalah seorang yang berpangkat tinggi. Lelaki itu berambut pendek dan dipotong kemas. Terdapat perhiasan dahi seperti yang dipakai oleh Ka-Zen dan Bre-Ya di kepalanya. Kulit lelaki itu perang dan agak gelap.
“Grand Duke Ka-Eil Faitu,” kata Ka-Zen pendek lalu mendabik dada dan tunduk sebagai sembah hormat. Bre-Ya juga memberi hormat kepada lelaki bergelar Grand Duke Ka-Eil itu. Rayz tidak tahu apa – apa namun dia juga meniru apa yang dilakukan oleh Ka-Zen dan Bre-Ya. Grand Duke Ka-Eil adalah Menteri yang membantu Maharaja Dara-Gon Lezaria di dalam pemerintahan Empayar Xatrian. Beliau adalah seorang yang sangat berpengaruh dan memiliki hati yang sangat baik. Pada masa ini, beliau bertugas di bawah Putera Mahkota iaitu anak kepada Maharaja Dara-Gon.
“Grand General, nampaknya Grand General telah berjaya di dalam misi menjejak dan menyelamatkan Bakal Maharaja kita. Tahniah saya ucapkan kepada Grand General,” puji Grand Duke Ka-Eil.
“Itu sudah semestinya kewajiban saya. Malahan, Bakal Maharaja kita ada bersama – sama dengan saya sekarang. Biar saya perkenalkan, ini Tuanku Maharaja Rayz, Dunamist pilihan Dewa VAHSYAH,” kata Ka-Zen memperkenalkan Rayz kepada Grand Duke Ka-Eil.
“Puji Dewa yang Maha Berkuasa, patik Ka-Eil memberi sembah kepada Tuanku Maharaja Rayz!” Grand Duke Ka-Eil segera bertekuk lutut di hadapan Rayz, tangan kanan menyentuh dada dan tangan kiri menyentuh lantai. Rayz berasa agak kekok disembah sedemikian rupa namun dia cuba berkelakuan seperti biasa sahaja. “Err, terima – kasih Grand Duke Ka-Eil. Kamu boleh bangun sekarang,” pinta Rayz.
“Grand Duke, apakah hajat kamu menghubungi saya?” tanya Ka-Zen.
“Saya membawa khabar penting dari Putera Mahkota,” jawab Grand Duke Ka-Eil.
“Putera Mahkota Dou-Gan? Apakah titah baginda?”
“Baginda sendiri telah datang untuk menyambut kepulangan Tuanku Maharaja Rayz,” jawab Grand Duke Ka-Eil.
Dahi Ka-Zen berkerut. “Bagaimana Putera Mahkota Dou-Gan mendapat tahu akan misi menjejak Bakal Maharaja? Tuanku Maharaja Dara-Gon telah menitahkan bahawa misi ini adalah misi yang sulit dan rahsia... Apa yang sedang berlaku ini?” Ka-Zen bermonolog dalam hatinya. Janggutnya dilurut halus.
“Ada sesuatu yang tak kena Grand General?” tanya Grand Duke Ka-Eil melihat perubahan wajah Ka-Zen itu.
“Oh, tak ada apa – apa Grand Duke. Boleh saya tahu, di mana Putera Mahkota Dou-Gan sekarang?”
“Kami berada di hadapan Grand General,” jawab Grand Duke Ka-Eil.
“Di hadapan kami?” tanya Bre-Ya.
Tiba – tiba sebuah pesawat super gergasi muncul di langit di hadapan Rayz, Ka-Zen dan Bre-Ya. Pesawat itu berbentuk seperti Ikan Paus dan besarnya kemungkinan bersamaan dengan Negara Singapura. Lampu – lampu berwarna biru muda berkelip – kelip dan bersinar dari tubuh pesawat itu. Lagi menakjubkan, pesawat itu langsung tidak mengeluarkan apa – apa bunyi. Namun lautan kelihatan bergelora apabila pesawat itu mulai merendahkan altitud.
“Gardingan,” kata Ka-Zen pendek.
Rayz memandang ke arah Bre-Ya,”Gardingan?”
“Pesawat Di Raja Xatrian, pengangkutan kerabat di raja,” terang Bre-Ya.
Rayz memandang pesawat itu dengan penuh rasa takjub. Ini berkemungkinan sekali kali pertama Rayz memandang pesawat sehebat dan secantik itu. Hatinya benar – benar teruja, perasaan yang dirasainya kini lebih hebat pada ketika dia memasuki piramid di Gurun Gobi. Namun dia perasan akan perubahan wajah Bre-Ya. Bre-Ya tiba – tiba kelihatan muram. Rayz ingin bertanya apa yang telah berlaku namun hasrat itu tidak kesampaian apabila 3 buah jalur cahaya muncul dari ‘mulut’ Pesawat Gardingan lalu mengenai mereka bertiga. Rayz menutup matanya dengan tangan kerana silauan 3 jalur cahaya tadi. Mereka bertiga tiba – tiba lesap dari pantai di Pulau Mantanani. Pesawat Gardingan itu segera mengubah haluan dan masuk ke dalam laut. Mungkin untuk menyembunyikan diri dari dikesan musuh. Apakah yang akan berlaku kepada Rayz seterusnya?
Thank you for reading :)

1 comment:

Anonymous said...

lagi..next..